Cari @ Amanz

Penantian untuk Xiaomi Mi 11 yang merupakan telefon pintar pertama dengan cip Snapdragon 888 telah berakhir di Malaysia sebentar tadi. Di dalam dunia yang ekonominya masih terumbang-ambing, ramai menantikan peranti mercu Xiaomi ini kerana mereka terkenal dengan harga jualan yang mesra poket. Tetapi kami tahu itu sahaja tidak memadai maka kami senaraikan 10 perkara yang kami rasakan menarik ada pada siri Xiaomi Mi 11 di Malaysia untuk tatapan anda.


1. Cip Snapdragon 888 Yang Berkuasa

Cip Snapdragon 888 ialah antara pemproses terbaik untuk peranti mercu tahun 2021. Dengan pelancaran Xiaomi Mi 11 di Malaysia hari ini, ia turut menjadi pertama di pasaran tempatan dengan cip berteknologi 5nm keluaran Qualcomm.

Dari segi prestasi ia setanding dengan Exynos 2100 yang digunakan pada siri Galaxy S21 untuk pasaran tempatan. Tetapi kami tahu di kalangan pembaca Amanz, ramai yang lebih meminati cip Snapdragon berbanding Eyxnos kerana reputasinya yang lebih baik serta sokongan aplikasi GCam.

2. Kemasan Menarik Tahan Lasak

Xiaomi Mi 11

Kemasan peranti adalah menarik dengan panel melengkung pada bahagian sisi yang dibulatkan dan kerangka logam yang tahan lasak. Pada bahagian hadapan pula kaca Corning Gorrilla Victus turut digunakan yang pada waktu ia adalah yang paling lasak pernah digunakan pada telefon pintar. Bonggol kameranya juga tidak terlalu tinggi walaupun bersaiz besar.

Dengan kemasan kaca di depan dan belakang, peranti kelihatan premium. Di tahun 2021, ramai yang tidak lagi mahu peranti yang mempunyai panel polikarbonat/plastik walaupun ia lebih ringan dan tahan hentakan. Walaupun Xiaomi terkenal sebagai pengeluar peranti mampu milik, mereka tidak lokek dalam menggunakan bahan paling premium pada peranti mereka.

3. Skrin Kadar Segar Semula Adaptif 120Hz

Skrin OLED yang digunakan menyokong resolusi WQHD+ dengan sokongan warna 10-bit. Tidak berakhir di sini, ia turut menyokong kadar segar semula adaptif sehingga 120Hz pada resolusi maksimum. Bagi mereka yang tidak pernah menggunakan skrin adaptif, ia membenarkan kadar segar semula berubah secara dinamik mengikut keperluan aplikasi. Hasilnya ialah penggunaan bateri yang lebih menjimatkan berbanding skrin kadar segar semula tinggi generasi terdahulu.

Masih tak cukup? Skrin Mi 11 menyokong paparan HDR 10+ membolehkan warna yang mantap serta keterangan paling maksimum boleh dinikmati pada pelbagai platform penstriman.

4. Pengimbas Cap Jari Bawah Skrin Dengan Pengimbas Nadi

Pengimbas cap jari ialah ciri yang hanya dua tahun lalu dianggap ketinggalan zaman keran sistem imbasan wajah yang lebih canggih. Dengan pemakaian topeng kini diwajibkan akibat Covid-19, sokongan cap jari adalah amat dihargai. Pengimbas cap jari dalam skrin Mi 11 adalah pantas.

Pada waktu yang sama, skrin Mi 11 dilengkapi pengimbas cap jari secara terbina yang pertama di dunia. Bagi mereka yang tidak mempunyai jam tangan pintar untuk membaca nadi selepas bersenam, Mi 11 membenarkannya ia dilakukan terus dari skrin.

5. Pengecasan Pantas Semua Format

Bateri 4600 mAh Xiaomi Mi 11 telah boleh dicas secara berwayar dan nirwayar. Dalam mod berwayar, bateri ini boleh dicas sepenuhnya dalam masa 45 minit dengan kuasa 55W. Dengan pengecasan berwayar pula, bateri boleh dicas sepenuhnya dalam masa 53 minit dengan kuasa 50W.

Peranti turut boleh digunakan untuk mengecas peranti lain secara nirwayar dengan output 10W. Sistem pengecasan yang disokong oleh Xiaomi adalah lebih pantas berbanding kebanyakan peranti mercu lain di pasaran sekarang.

6. Kamera Dengan Pelbagai Ciri Tambahan

Kamera kini adalah antara ciri paling penting sebelum pembelian dilakukan. Pada Mi 11 tri kamera dilengkapi sensor 108MP sudut lebar, 13MP sudut ultra sudut lebar dan 5MP khusus untuk makro. Dengan sistem tri-kamera ini, Xiaomi percaya kesemua keperluan fotografi pengguna akan dapat dipenuhi.

Antara ciri menarik yang disokong oleh Mi 11 ialah Time Freeze, Magic Zoom, Freeze Frame Video dan Parallel World. Ini membolehkan pengguna Mi 11 melakuakn pelbagai kesan khas tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan. Aplikasi suntingan juga boleh membuang objek dari gambar secara automatik bagi mereka yang inginkan gambar yang sempurna diambil.

7. Pembesar Suara Stereo Harman Kardon

Audio sering dianaktirikan oleh pengeluar telefon pintar. Tetapi dengan semakin banyak pengguna kini menonton kandungan video dan audio, sistem audio yang mantap kini adalah perlu. Xiaomi menggunakan sistem audio stereo yang ditala oleh Harman Kardon, nama yang cukup gah dalam industri audio.

Apa yang membuatkan sistem audio ini menarik ialah kekisi audio yang agak besar diletakkan di bahagian atas dan bawah untuk menghasilkan audio yang lebih seimbang. Isu pembesar suara bawah lebih kuat dari bahagian atas terus berjaya diselesaikan dengan konfigurasi ini.

8. Pengecas Dan Penyesuai Audio Disertakan

Sokongan pengecasan yang pantas tidak bermakna tanpa pengecas disertakan. Dalam dunia pengeluar mula tidak menawarkan aksesori tambahan dalam kotak atas sebab ingin mengurangkan pencemaran elektronik, Xiaomi berani untuk menawarkan pengecas GaN 55W dengan setiap pembelian.

Pengguna tidak perlu berbelanja lebih untuk menikmati antara sistem pengecasan terpantas pada waktu ini. Xiaomi juga tidak lokek memberikan penyesuai USB-C kepada bicu 3.5mm dan kerangka dalam kotak yang sama. Dari segi nilai tambahan, Xiaomi Mi 11 mungkin sukar untuk dikalahkan pada waktu ini.

9. Menyokong Rangkaian 5G

Kerajaan mengesahkan rangkaian 5G akan ditawarkan di Malaysia secara komersial menjelang penghujung 2021. Oleh itu peranti yang boleh menyokong rangkaian selular generasi terkini tidak lagi dianggap membazir untuk dibeli di negara kita.

Modem Qualcomm Snapdragon X60 5G yang digunakan memberikan kemampuan muat turun mencecah 7.5 Gbps dan muat naik mencecah 3 Gbps. Nyata lebih pantas berbanding teknologi 4G sedia ada. Kita hanya boleh berharap pelancaran 5G di Malaysia akan berjalan lancar supaya kita juga boleh menikmati kelajuan adi-pantas ini segera.

10. Harga Yang Mampu Milik Untuk Perani Mercu

Akhir sekali ialah harga. Ramai meramalkan dengan cip Snapdragon 888, Xiaomi Mi 11 akan dijual pada harga hampir RM4000. Tetapi di majlis pelancaran hari ini harga jualannya adalah amat mampu milik,. Untuk model 8/128 GB ia ditawarkan pada gram RM2777 manakala model 8/256 GB ditawarkan pada harga RM2999. Harga yang setanding denga Mi 10 5G tahun lalu semasa ia mula dijual di Malaysia.

Dalam dunia yang masih bertarung dengan pandemik, ramai tidak mampu memiliki peranti mercu kerana harga jualan yang boleh dikategorikan sebagai melampau. Xiaomi kekal dengan misi asal mereka iaitu menjual peranti yang memberikan nilai terbaik tanpa perlu mengorbankan ginjal. Ini kami rasakan harus dipuji kerana tidak semua orang membeli peranti sebagai status kemewahan.


Jadi ini ialah 10 Perkara Menarik Xiaomi Mi 11 yang dapat kami senaraikan sempena pelancarannya di Malaysia hari ini. Adakah ia cukup untuk membuatkan anda melakukan pembelian kelak? Sekiranya tidak apakah ciri yang tertinggal? Jika ya apakah ciri yang membuatkan anda tiak sabar untuk membeli? Kongsi jawapan anda di ruangan komen di bawah.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd