Cari @ Amanz

SpaceX dikenali orang ramai untuk ujian-ujian roket angkasa lepas mereka, dan juga misi mereka ke bulan dan Marikh. Tetapi tahukah anda bahawa mereka juga sedang membangunkan teknologi internet satelit yang bernama Starlink?

Bermula tahun lepas, Starlink telah melancarkan berpuluh-puluh satelit ke angkasa lepas untuk menubuhkan rangkaian internet secara global. Ujian sambungan internet ini mula diperkenalkan di Amerika Syarikat dahulu, dan nampaknya akan mula ditawarkan secara global.

Lowyat.net baru-baru ini telah melaporkan bahawa rakyat Malaysia boleh mula mandaftarkan minat dan membayar deposit untuk perkhidmatan internet ini bermula hari ini.

Deposit tersebut berharga $99 (~RM400) yang boleh dikembalikan, dan tanda harga untuk sistem satelit tersebut dianggarkan berharga $499 (~RM2000) berdasarkan apa yang ditawarkan melalui laman web Starlink untuk pasaran Amerika Syarikat.

Dari segi tanda harga langganan internet pula, pengguna boleh menjangka untuk membayar sekitar $99 (~RM400) untuk sambungan internet dengan kelajuan sekitar 50-150Mbps dengan lengah masa 20-40ms.

Secara teknikalnya, penawaran sambungan internet satelit bukanlah sesuatu yang baru. Di Malaysia, Measat hadir dengan perkhidmatan internet ConnectME yang menggunakan teknologi satelit untuk memancarkan sambungan internet ke lokasi-lokasi luar bandar dan pedalaman yang sukar untuk mendapatkan sambungan internet jalur lebar daripada syarikat-syarikat lain.

Setakat ini, ia tidak diketahui lagi bilakah Starlink akan mula ditawarkan di Malaysia, tetapi laporan Lowyat.net mengatakan lagi bahawa perkhidmatan ini dijangka hanya akan ditawarkan sekitar 2022, dan pada hemat kami, ia masih akan perlu melepasi penyeliaan SKMM sebelum ia boleh ditawarkan secara sah.

Jika anda berminat untuk melanggani perkhidmatan internet ini, anda boleh ke laman web Starlink sekarang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd