Carian
Seiko Dan Kojima Production Melancarkan Jam Tangan Edisi Terhad Berkuasa Solar
February 26, 2021 Effi Saharudin

Selepas meninggalkan Konami, Hideo Kojima menubuhkan studio beliau sendiri iaitu Kojima Production. Maskot kepada studio ini pula ialah Ludens, seorang angkasawan yang figura aksinya dijual kepada yang berminat. Hari ini, Kojima Productions mengumumkan pula kerjasama dengan Seiko untuk melancarkan seutas jam tangan edisi khas sempena ulang tahun studio yang kelima.

Jam tagan Seiko Astron edisi Kojima Productions ini mengambil inspirasi dari Ludens. Hanya 1000 utas akan dihasilkan dan ia akan mempunyai ukiran unik pada bahagian tubuh dan juga panel bawah. Selain itu tali jam pula diperbuat daripada bahan titanium yang tahan lasak. Yang menariknya mengenai jam tangan ini ialah ia hanya memerlukan cahaya matahari untuk berkoperasi. Sistem GPS terbinanya akan mengubah waktu kepada lokasi secara automatik.

Bagi yang berminat, jualan akan dibuka pada bulan Jun 2021 dengan harga 374,000 Yen (~RM 14,000) seutas. Ini bukanlah kerjasama pertama Hideo Kojima dengan Seiko. Pada tahun 2015, jam tangan Seiko edisi Metal Gear Solid turut dihasilkan dalam jumlah terhad.

Komen