Tips WhatsApp #2: 5 Petua Membanteras Berita Palsu

Diterbitkan pada Mac 11, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Sebelum ini kami ada berkongsi dengan anda berkenaan bagaimana untuk kekal selamat di aplikasi pemesejan WhatsApp. Melaluinya, terdapat beberapa cara mudah yang kami telah kongsikan. Jika anda belum membacanya, anda boleh klik pada pautan ini untuk ketahui lebih lanjut mengenainya.

Pada perkongsian kali ini, kami akan menyambung penerangan mengenai keselamatan. Namun artikel ini, akan lebih memfokuskan pada cara untuk menangani penyebaran berita palsu di media sosial – terutamanya di aplikasi WhatsApp. Boleh dikatakan, aplikasi juga tidak terlepas daripada isu penyebaran berita palsu. Kebiasaannya ia dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan perlu ditangani. Hal ini kerana, ia boleh menyebabkan keadaan menjadi huru hara dan panik. Lebih merisaukan lagi, kejadian tidak diingini juga mungkin boleh terjadi dengan sekelip mata sahaja.

Jadi, penting untuk anda tahu, apa yang patut anda lakukan. Jadi sebagai panduan semua, di sini kami senaraikan beberapa petua ringkas yang boleh membantu anda untuk melindungi diri daripada berita palsu. Untuk makluman, artikel ini bagaimanapun hanyalah sebagai panduan yang ringkas sahaja.


1. Fahami Setiap Mesej Yang Diterima

Sikap sebahagian masyarat kita yang gemar membaca dan mempercayai berita berbentuk sensasi tanpa memastikan kesahihannya – menjadi antara punca utama penyebaran maklumat palsu. Oleh itu, pengguna dinasihatkan supaya meneliti setiap maklumat atau berita yang diterima. Ia perlu dinilai terlebih dahulu sama ada sahih atau sebaliknya.

Sebarang mesej di WhatsApp yang dimajukan akan disertakan dengan ikon anak panah – bagi memudahkan pengguna mengetahui bahawa penghantar bukanlah sumber utama kepada mesej berkenaan. Kemudian, mesej yang telah dimajukan lebih daripada lima kali pula akan ditandakan dengan ikon anak panah berganda.

Secara tidak langsung pengguna akan mendapat banyak manfaat melaluinya. Misalnya, fungsi ini dapat memberitahu pengguna mengenai status mesej tersebut, dengan kebarangkalian ia mungkin mengandungi maklumat yang kurang benar atau info berasaskan spam.


2. Semak Mesej, Foto, Video & Fail Audio Diterima Dengan Teliti

Sebarang fail media yang berbentuk foto, rakaman audio dan video sebenarnya boleh disunting untuk mengelirukan para pengguna. Oleh sebab itu, pengguna seharusnya lebih berhati-hati dan sentiasa menyemak terlebih dahulu mesej diterima dengan sumber-sumber rasmi yang sah. Ia bertujuan untuk mendapatkaN kepastian dan kesahihannya. Jika anda mendapati mesej tersebut telah dikongsi kepada umum secara berleluasa – kebarangkalian untuk mesej itu benar adalah tinggi.


3. Berhati-hati Dengan Mesej Yang Mencurigakan

WhatsApp Huawei App

Kebanyakan mesej dan pautan palsu yang tular, pastinya mempunyai masalah ejaan dan tatabahasa yang ketara. Jadi sekiranya pengguna ada menerima sebarang mesej atau pautan daripada mana-mana pihak yang tidak dikenali – sila pastikan pengguna membacanya dengan teliti terlebih dahulu. Pada masa sama, pengguna juga perlu semak setiap ayat dan ejaan padanya bagi memudahkan anda ketahui kebenaran sesuatu maklumat yang diterima itu. Tetapi, cara lebih mudah adalah dengan menyekat, mengabaikan atau memadam mesej berkenaan.


4. Berita Palsu Seringkali Mudah Tular

Meskipun sesuatu mesej itu didapati dikongsi secara meluas, namun ini tidak bermakna mesej berkenaan adalah benar dan sahih sama sekali. Pengguna dinasihatkan agak tidak berkongsi sebarang mesej diterima atas sebab desakan daripada pihak penghantar. Ini kerana ia boleh mencetuskan banyak masalah, sekali gus menggalakkan lagi penularan berita palsu.

Jika pengguna mendapati maklumat atau mesej yang diterima adalah palsu. Maka, ia menjadi tanggungjawab pengguna untuk memaklumkan hal berkenaan kepada pihak penghantar. Seterusnya, pengguna juga perlu menasihatkan pihak penghantar agar mengesahkan sebarang maklumat dengan sahih terlebih dahulu sebelum berkongsi pada masa akan datang.

Sekiranya penularan berita palsu berlaku secara aktif dalam sesuatu ruang sembang secara berkumpulan, pengguna dinasihatkan untuk melaporkannya kepada pihak WhatsApp untuk tindakan susulan.


5. Sahkan Maklumat Dengan Sumber Rujukan Lain

Jika anda masih dilema berkaitan kesahihan sesuatu mesej yang diterima. Langkah terbaik yang boleh diambil adalah dengan cara membuat carian fakta secara dalam talian. Pengguna boleh menyemak sejumlah laman berita yang boleh dipercayai bagi mencari sumber sebenar sesebuah berita yang tular. Akan tetapi, jika pengguna masih merasa ragu-ragu. Cuba untuk bertanyakan kepada pihak yang sepatutnya untuk maklumat lebih lanjut.


Sekian sahaja perkongsian kali ini berkenaan petua untuk menangani penularan berita palsu. Unsur-unsur permasalah ini harus dibasmi habis-habisan tanpa kompromi oleh semua pengguna. Jika tidak, ia akan memberi memberi kesan yang buruk kepada ramai pihak.

Baiklah, jangan lupa nantikan perkongsian kami yang seterusnya berkaitan fungsi menarik yang terdapat pada aplikasi pemesejan WhatsApp Business pula. Sesuailah topik ini untuk para peniaga di luar sana yang mencari peluang baharu dan tampil lebih kreatif dalam usaha mengembangkan perniagaan. Jadi, tunggu ya!

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami