Cari @ Amanz

Sebelum ini, terdapat beberapa laporan berhubung tiga jam tangan pintar di bawah label “Moto” akan dilancarkan pada tahun ini. Biarpun belum ada kepastian, namun jam tangan tersebut berkemungkinan besar dikenali sebagai Moto G, Moto Watch dan Moto One. Dari segi rekaan, Moto G dipercayai menggunakan skrin berbentuk segi empat. Sementara itu, Moto Watch dan Moto One pula akan dilengkapi rekaan skrin bulat.

Dalam perkembangan terkini, tular imej yang didakwa memaparkan rekaan untuk jam tangan pintar Moto yang akan datang. Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan mengenai modelnya. Seperti yang dapat dilihat, bahagian belakang jam berkenaan mendedahkan beberapa spesifikasi utama padanya. Antaranya seperti dijana oleh pemproses Snapdragon Wear 4100, penarafan kalis air 5 ATM dan menyokong NFC serta GPS.

Dalam pada itu, ia juga dipercayai menyokong pengecasan nirwayar kerana terdapatnya gegelung pengecasan pada belakang jam. Pada masa sama, imej tersebut turut mendedahkan rekaan pada jam berkenaan – yang mengguna skrin bulat bersama dua butang fizikal pada sisi kanan.

Jam tangan Moto akan datang dijangka bakal menjadi pengganti kepada Moto 360 yang dilancarkan pada tahun 2019. Penggunaan cip Snapdragon Wear 4100 juga adalah lebih cekap – sekaligus mampu menjadikan ia sebagai salah satu jam tangan pintar dengan Wear OS yang baik untuk digunakan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd