Cari @ Amanz

Pada 2019 yang lepas, Axiata dan Telenor telah mengumumkan hasrat mereka untuk berbincang dalam menyatukan kedua-dua syarikat, sekaligus menjadi syarikat telekomunikasi gergasi di Asia Tenggara.

Dengan gabungan berkenaan, ia juga akan memperlihatkan Celcom dan Digi bergabung, sekaligus menjadi syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia. Apa pun, perbincangan pada 2019 berkenaan tidak berjalan lancar, dan tiada gabungan berlaku lanjutan daripadanya disebabkan beberapa perkara.

Terbaru, menurut laporan TheStar, kedua-dua pihak ini dikatakan telah mula berbincang kembali berkenaan mengabungkan syarikat ini.

Perbincangan baru ini dikatakan hadir lanjutan daripada pengumuman kerajaan berkenaan infrastruktur 5G yang akan disewakan oleh satu badan kepada syarikat telekomunikasi. Langkah ini akan membuatkan semua syarikat telekomunikasi mempunyai akses sama, sekaligus bersaing dari segi harga dan kualiti penawaran.

Apa pun, ia tidak diketahui lagi ditahap manakah perbincangan ini. Mengikut beberapa penganalisa dan pakar, gabungan kedua-dua syarikat ini akan menguntungkan kedua-duanya dalam beberapa perkara, termasuk dalam mengukuhkan kedudukan dalam arena telekomunikasi serantau.

Seperti biasa, sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut berkenaan perbincangan kedua-dua pihak ini – dan sama ada akan saksikan Celcom dan Digi bergabung pada tahun ini atau sebaliknya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd