Rekaan Dan Spesifikasi Fitbit Ace 3 Tertiris – Bakal Tiba Tidak Lama Lagi

Rekaan Dan Spesifikasi Fitbit Ace 3 Tertiris – Bakal Tiba Tidak Lama Lagi

Diterbitkan pada Mac 8, 2021 oleh .

Fitbit dilihat dalam perancangan untuk pengenalan satu lagi gelang tangan pintar baharu yang bakal dikenali sebagai Fitbit Ace 3 kelak. Ia merupakan kesinambungan kepada Fitbit Ace 2 yang dilancarkan sekitar tahun 2019 yang lalu dan mensasarkan untuk pengguna kanak-kanak.

Spesifikasi serta imej pengolokannya kini tertiris dan ia dipercayai diperkenalkan sekitar bulan ini – iaitu 15 Mac 2021. Imej tersebar memperlihatkan ia hadir dalam dua kemasan warna berbeza yang kelihatan menarik. Ia terdiri dengan kombinasi merah – hitam dan ungu – hijau.

Dari segi rekaan, Fitbit Ace 3 menggunakan rekaan bujur untuk muka hadapan dan butang fizikal yang lebih besar berbanding pendahulunya. Ia dipercayai menggunakan paparan sejenis OLED hitam dan putih – dengan kawalan sesentuh seperti sejumlah gelang tangan pintar lain di pasaran.

Untuk spesifikasinya, Fitbit Ace 3 menggunakan paparan berukuran 1.47-inci dengan resolusi 240 X 240 piksel. Ia juga dikatakan mempunyai jangka hayat bateri sehingga 8 hari dengan sekali pengecasan – yang mana dilihat lebih baik berbanding pendahulunya.

Selain itu, ia juga menawarkan sejumlah fungsi penjejak kesihatan seperti pemantauan tidur dan pedometer – meskipun ia tidak mempunyai sensor kadar jantung khusus. Selain itu, ia juga menyokong beberapa mod sukan berbeza – termasuklah larian, mendaki dan berbasikal.

Spesifikasi lain termasuklah – ia menyokong untuk peranti Android dan iOS, penyelarasan data boleh dibuat menerusi aplikasi Fitbit, berat sekitar 70 gram, pelindungan kalis air sehingga 50 meter dan sebagainya. Buat masa ini, harga rasmi masih belum diketahui, segalanya bakal terjawab kelak.


Paling Popular