Ulasan Oppo Find X3 Pro – Percubaan Kali Ketiga Tak Mengecewakan

Ulasan Oppo Find X3 Pro – Percubaan Kali Ketiga Tak Mengecewakan

Diterbitkan pada Mac 11, 2021 oleh .

Banyak gimik digunakan untuk menjual peranti di pasaran sekarang. Ada yang boleh mengambil video 8K, skrin HDR dan menyokong stylus sebagai alat kawalan jauh adalah antara yang pernah ditawarkan di pasaran Malaysia. Oleh itu pengeluar berlumba-lumba mencari gimik seterusnya yang boleh menarik perhatian orang ramai.

Oppo Find X3 Pro ialah peranti mercu terkini yang baru sahaja dilancarkan sebentar tadi. Di atas kertas pemproses Snapdragon 888 dan rekaan tubuh yang sangat cantik sudah mencukupi untuk menarik minat tetapi kami merasakan sistem kamera seakan mikroskopnya mungkin akan menjadi bualan ramai. Ini ialah ulasan lengkap kami untuk Oppo Find X3 Pro yang kini

Spesifikasi Dan Rekaan

Oppo Find X3 Pro
Skrin6.7″ AMOLED
WQHD+, 120Hz, HDR10+
PemprosesSnapdragon 888 (5nm)
Cip1 X 2.84 GHz Kryo 680 Prime
3 X 2.42 GHz Kryo 680 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 680 Silver
Cip GrafikAdreno 660
RAM12GB LPDDR5
Muatan Dalaman256GB UFS 3.1
Kamera Utama50+50+13+3 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/3.0, Zum 20X, Mikrolens, OIS
Kamera Swafoto32 Megapixel f/2.2
Bateri4500mAh
Pengecasan berwayar 65W
Pengecasan nirwayar 30W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM 5647* (diubah dari mata wang asing)

Skrin 6.7″ dari keluarga AMOLED digunakan tahun ini dengan sokongan resolusi tinggi WQHD+ dan kadar segar semula adaptif 120Hz. Ini meletakkannya setanding dengan skrin yang digunakan pada Galaxy S21 yang puji dalam ulasan sebelum ini. Seperti skrin peranti Samsung tersebut, skrin Find X3 Pro berubah secara dinamik di antara 5-120Hz mengikut keperluan aplikasi. Ini mengurangkan penggunaan bateri yang selama ini menjadi isu peranti mercu.

Oppo menyokong kadar segar semula pada tetapan tertinggi bukanlah benda baharu. Malahan tahun lalau Find X2 Pro ialah peranti pertama yang kami ulas yang menyokongnya sedangkan Samsung gagal memberikan ciri yang sama. Skrin ini mampu memaparkan sehingga 1 bilion warna yang di atas kertas sepatutnya mengelakkan isu color-banding yang meracuni skrin OLED generasi terdahulu. Satu ciri unik yang tidak kami temui pada peranti lain ialah ia ciri Color Vision Test yang memastikan warna pada skrin kelihatan tepat walaupun pengguna mempunyai masalah rabun warna. Ini adalah isu yang besar sebenarnya memandangkan 1/12 lelaki dan 1/200 wanita dunia mempunyai masalah rabun warna.

Kehebatan skrin sedikit tercalar kerana kekal dengan dwi-lengkung pada bahagian sisi. Kami mengakui skrin melengkung memang membuatkan peranti kelihatan lebih bergaya dan seksi tetapi realitinya ia kurang praktikal. Video melimpah keluar dalam mod skrin penuh dan viewfinder aplikasi kamera tidak memaparkan bingkai yang sebenar. Skrin melengkung bukanlah fitur yang kami mahu diteruskan.

Sungguhpun begitu skrin Find X3 Pro masih layak dimasukkan ke dalam senarai antara yang terbaik tahun ini. Walaupun di bawah cahaya mentari yang terik, ia masih jelas kelihatan. Kandungan HDR yang ditonton amat terang dan tiada isu sela masa. Menatal pada Find X3 Pro terasa amat lancar seperti seorang minyak yang cuba memboloskan diri dari segerombolan orang kampung yang mengamuk.

Jika ingin mencari kecacatan ia terletak pada lubang kamera swafoto dan masih lagi menggunakan pengimbas cap jari terbina bawah skrin dari jenis optikal. Ini sukar untuk dimaafkan kerana Find X3 Pro dipasarkan sebagai peranti mercu premium dan jika Mi 11 yang mampu milik boleh menggunakan pengimbas ultrasonik apakah alasan Oppo kali ini?

Seterusnya kita pergi ke pemproses Snapdragon 888 yang dipadankan dengan memori 12GB dan storan 256GB pada model yang kami ulas. Tiada sokongan kad mikro SD kerana ia telah dilakukan oleh Oppo sejak beberapa tahun lalu. Spesifikasi peranti adalah amat tinggi dan boleh memenuhi 99% keperluan pengguna Android sekarang. Tiada komen negatif yang boleh kami tulis mengenainya.

Seterusnya ialah sistem kuad-kamera utama yang amatlah unik. Lensa sudut lebar dipadakan dengan sensor 50MP Sony IMX 776, lensa ultra sudut lebar juga dengan sensor 50MP Sony IMX 776, lensa telefoto dipadankan dengan sensor 13MP dan akhir sekali lensa mikro dengan sensor 3MP. Dengan menggunakan saiz sensor yang sama pada lensa sudut lebar dan ultra sudut lebar, Oppo ingin menyelesaikan isu warna yang berbeza apabila gambar diambil menggunakan dua lensa ini.

Oppo berani menongkah arus kerana sekadar menawarkan zum hibrid sehingga 5X dan zum digital sehingga 20X sahaja. Ia memang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan peranti mercu Samsung dan Huawei. Baik atau buruknya strategi ini akan kami bincangkan dalam segmen kamera di bawah kelak bersama dengan ciri mikroskopnya yang unik. Pada bahagian hadapan pula sebuah sensor 32Mp digunakan pada kamera swafoto.

Kesemua kamera utama dimasukkan ke dalam bonggol kamera yang paling cantik kami lihat setakat ini. Sisinya dibulatkan seakan bangunan yang direka oleh Zaha Hadid. Oppo mengatakan mereka mendapat inspirasi dari industri aeroangkasa untuk rekaan panel belakang mereka. Keseluruhan bonggol dan panel belakang diperbuat daripada satu panel kaca yang mengambil masa 40 jam untuk dihasilkan. Dua kemasan diberikan – warna hitam yang berkilat dan warna biru yang matte. Secara peribadi kemasan biru matte adalah lebih praktikal keran tidak memerangkap sebarang cap jari.

Bonggol juga tidak terlalu tinggi. Kesemua imej yang dikongsi sebelum ini tidak memberikan gambaran sebenar. Dari segi skala bonggol, ini mungkin bonggol yang paling tidak menyebabkan kami mengamuk walaupun masih membuatkan peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja. Pujian diberikan kepada Oppo kerana sebuah kerangka silikon diberikan percuma dengan setiap pembelian. Ini dapat mengelakkan panel kaca unik yang besar dari mengalami sebarang kerosakan.

Penggunaan Dan Perisian

Android 11 dipadankan dengan pelancar ColorOS 11.2. Harus kami akui sudah agak lama tidak menggunakan peranti keluaran dan perubahan mendadak ColorOS adalah sesuatu yang kami tidak jangka. Ini bukanlah komen negatif sebenarnya. Kami lebih menyukai antaramuka yang kini lebih selari dengan rekaan Android asli dengan perencah Samsung One UI. Antaramuka adalah kemas dengan sentuhan minimalis. Stigma sistem operasi Oppo yang terlalu China kini boleh dibuang ke dalam tong sampah kerana ianya moden dan tidak menyakitkan mata.

Dengan 12 GB RAM pada model yang kami ulas, tiada sebarang masalah dihadapi untuk menjalankan pelbagai aplikasi. Kesemuanya boleh dilancarkan dengan pantas dan meluncur seperti mentega panas di atas meja abang burger daging spesial tepi jalan di dini hari. Perisian yang baik dipadankan dengan skrin 120Hz adalah kombinasi yang cukup memuaskan. Oppo juga tidak lokek dalam memberikan pelbagai jenis kustomasi kepada pengguna. Hampir semuanya boleh diubah dari saiz grid talam aplikasi, talam aplikasi itu sendiri, gestur, ikon, animasi, grafik AOD dan banyak lagi. Adalah mustahil untuk menyenaraikan pelbagai ciri tambahan yang disertakan Oppo tetapi yang paling kerap kami gunakan ialah Quick Launch terus dari skrin kekunci untuk lima aplikasi pilihan. Ia mungkin ciri yang kami rasakan perlu dicuri oleh pengeluar peranti Android yang lain.

Selain itu kami juga ingin memuji kepantasan sistem biometri yang disertakan. Pengimbas cap jari yang digunakan mungkin masih dari keluarga optikal tetapi amatlah pantas. Sepantas S21 Ultra yang menggunakan pengimbas ultrasonik. Peranti boleh dikunci tanpa jari ditekan kuat pada sensor pengimbas. Bagi mereka yang menggunakan imbasan wajah pula (kenapa nak guna dala dunia bertopeng ini) ia lebih pantas berbanding iPhone 12 Pro Max. Angkat sahaja peranti dan skrin terus terkunci. Kekurangan hanyalah jika nyahkunci wajah dilakukan dalam gelap kerana X3 Pro tidak mempunyai pemancar infra merah iPhone dan Huawei Mate.

Selepas seminggu bersama X3 Pro apa yang boleh kami katakan ialah bukan sahaja kemampuan rekaan Oppo kini telah matang tetapi lebih penting sekali pada bahagian perisian juga mereka mampu memberikan pengalaman yang sebaik pengeluar peranti mercu yang lain. Maka tidaklah mengejutkan mengapa Oppo mendominasi pasaran Asia Tenggar dan memintas Huawei sebagai pengeluar peranti nombor satu untuk pasaran China pada suku pertama 2021.

Apa yang kami harapkan ialah sokongan kemas kini Android yang lebih lama dari Oppo. Pada waktu ini ia hanya diberikan dua tahun selepas peranti dilancarkan. Mereka di belakang Google, Samsung, Nokia dan OnePlus dalam pemberian sokongan kemas kini versi Android sehingga tiga tahun. Memandangkan Oppo dan OnePlus adalah adik beradik lain mak sama Pete Lau, diharap sokongan 3 tahun ini turut akan diberikan Oppo dalam masa terdekat.

Penanda Aras

Dalam ujian Geekbench 5, Find X3 Pro dengan Snapdragon 888 mencatatkan 933/3306 markah berbanding Apple A14 Bionic yang mencatatkan1598/3971 markah dan Exynos 2100 pula mencatatkan 1066/3345 markah. Dalam ujian Antutu 3D pula, ia mencatatkan 630,020 markah berbanding 667,807 markah (Apple A14 Bionic) dan 631,702 markah markah (Exynos 2100).

Dalam ujian sintetik Find X3 Pro masih belum mampu mencabar iPhone 12 Pro Max atau Galaxy S21 Ultra. Tetapi kami berbohong jika mengatakan kami dapat merasakan perbezaan di antara ketiga-tiga peranti dari segi kelancaran dalam penggunaan harian. Malahan Find X3 Pro terasa lebih lancar kerana penggunaan skrin 120Hz. Satu lagi kelebihan yang kami sedari ialah masalah pemanasan semasa mengambil gambar tidak dialami pada X3 Pro walaupun dengan mod AI diaktifkan.

Satu isu yang wujud ialah peranti menjadi lebih panas dari biasa ketika memainkan permua grafik tinggi seperti COD Mobile. Ia meningkat ke suhu yang membuatkan kurang selesa untuk dipegang. Langkah pencegahan yang diambil ialah menggunakan kerangka silikon yang bertindak sebagai penebat haba yang baik.

Kamera

Selain kekuatan pada kemampuan pemproses, kami merasakan kemampuan kameranya juga tidak mengecewakan. Oppo tidak pergi ke ekstrem dengan menyertakan sensor terbesar dan sistem zum paling jauh. Malahan adakah menentang arus apabila tiada sistem zum periskop digunakan pada X3 Pro. Sebaliknya mereka mempertaruhkan kemampuan kamera sudut lebar dan ultra sudut lebar untuk menarik minat pengguna.

Kedua-dua lensa ini menggunakan sensor 50MP Sony IMX766 dan oleh itu apabila gambar diambil tiada perbezaan warna dapat dilihat. Perbezaan warna apabila bergerak antara lensa adalah isu yang kerap kami dengar dari pengguna terutamanya di kalangan peminat fotografi. Melengkapkan spesifikasi kuad-kamera ialah lensa 13MP telefoto dan 3MP lensa mikro. Ini memberikan kemampuan zum hibrid sehingga 5X dan zum digital hanya sehingga 20X. Tetapi pada lensa mikro, zum sehingga 60X boleh dilakukan dari jarak sekecil 1 cm. Hasilnya ialah kemampuan merakam dunia dari sudut pandangan mikro yang tidak pernah kami lakukan sebelum ini.

Adakah ia gimik? Ini sudah pasti tetapi ia gimik yang sekurang-kurangnya lain dari yang lain bukan sekadar mengitar idea yang lapuk. Satu lagi gimik yang lebih praktikal ialah mod gambar 10-bit yang mengambil gambar dalam format HEIF. Bagi yang inginkan gambar dengan warna lebih dinamik (tetapi sedikit sukar untuk disunting) ini ialah mod yang boleh digunakan dengan lebih kerap.

Kualiti Gambar

Kuali gambar adalah amat baik dengan penghasilan warna yang lebih semulajadi dengan objek yang diambil sentiasa tajam tanpa hingar yang ketara. Aplikasi kamera berfungsi dengan pantas tanpa sela masa walaupun sensor yang digunakan bersaiz besar. Mungkin ada yang mengatakan “What’s the big deal?“. Ianya isu yang besar kerana masih ada pengeluar peranti mercu di luar sana yang menggunakan sensor besar tetapi aplikasi kamera berfungsi perlahan seperti kura-kura. Bercakap tentang kepantasan, sistem pemfokusan Find X3 Pro juga cukup pantas dalam pelbagai situasi yang diuji. Contoh gambar yang diambil adalah seperti di bawah. Bagi yang ingin tahu, kesemua mod-mod standard seperti panorama, makro, malam dan potret disertakan dalam aplikasi.

Anda boleh lihat sendiri imej-imej yang diambil menggunakan tetapan sudut ultra lebar, sudut lebar, 2X dan 5X. Prestasi zum adalah memuaskan sehingga 5X hibrid. Imej masih lagi tajam dengan penghasilan warna yang tepat. Kekurangan hanyalah pada zum 5X, viewfinder mula bergoyang. Pada tetapan zum 20X kualiti gambar yang dihasilkan adalah langsung tidak sesuai digunakan kerana pecah. Tambahan lagi imej yang terhoyong-hayang di viewfinder membuatkan proses mengambil gambar menjadi mustahil. Dengan prestasi kameranya yang baik, kami langsung tidak merindui kehilangan sistem zum boleh pergi lebih jauh. Pakej kamera Find X3 Pro adalah hampir sempurna tahun ini.

Audio

Pembesar suara stereo menggunakan konfigurasi satu menembak ke depan dan satu menembak ke sisi. Ini bukanlah konfigurasi yang ideal dan akibatnya audio yang dihasilkan terasa kurang seimbang. Audio dari bawah jelas lebih lantang berbanding speaker bahagian atas. Pada tetapan tertinggi sekalipun audio yang dihasilkan masih lantang dan jelas. Sistem Dolby Atmos disertakan pada X3 Pro tetapi ia tidak boleh diaktifkan ketika menggunakan speaker stereo ini. Ini adalah misteri yang berlarutan sejak sekian lama. Mengapa ia tidak diaktifkan sedangkan ia boleh sahaja digunakan pada peranti Apple dan Samsung. Mungkinkah pelesenan dan ujian tambahan yang boleh meningkatkan kos?

Prestasi audio speaker fizikal X3 Pro adalah memuaskan tetapi tidaklah menakjubkan. Tetapi dengan aksesori yang berpadanan, pengalaman audio dengan fon kepala dan telinga adalah jauh lebih baik. Prestasi audio yang baik tidaklah mengejutkan kerana Oppo pada asalnya ialah syarikat yang menghasilkan peralatan audio berkualiti tinggi dan pedigri syarikat masih dapat didengar pada telefon pintar yang dihasilkan.

Bateri

Dalam penggunaan biasa, kami berjaya mendapatkan SOT sehingga 8.5 jam dan hayat penggunaan sehingga 26 jam walaupun skrin dalam mod 120Hz WQHD+. Ini adalah hayat penggunaan yang amat baik untuk bateri yang hanya sebesar 4500 mAh. Kami tidak mampu melakukan ujian di luar menggunakan LTE semata-mata kerana pandemik mengehadkan pergerakan. Seperti biasa hayat bateri akan menjadi lebih baik jika resolusi dan kadar segar semula dikurangkan dari tetapan di atas. Raja bateri untuk peranti mercu tahun 2021 masih lagi S21 Ultra dengan SOT melangkaui 9 jam.

Jika kehabisan bateri sekalipun ia bukanlah isu yang besar memandangkan pengecasan pantas 65W boleh memenuhkan bateri ke 100% dalam masa sekitar 40 minit sahaja. Terdapat juga pengecasan secara nirwayar dan berbalik. Kami tidak mampu melakukan ujian nirwayar kerana tidak mempunyai pengecas AirVOOC keluaran Oppo. Tetapi statistik paling penting ialah dalam masa 10 minit, bateri boleh dicas ke 40%.

Pesaing

Oppo Find X3 ProSamsung Galaxy S21 UltraXiaomi Mi 11
6.7″ AMOLED, 1440 x 3216, HDR10+, 120Hz (525 ppi)6.8″ Dynamic AMOLED 2X, 1440 x 3200, HDR10+, 120Hz (515 ppi)6.81″ AMOLED, 1440 x 3200, HDR10+, 120Hz (515 ppi)
Snapdragon 888
1 X 2.84 GHz Kryo 680 Prime
3 X 2.42 GHz Kryo 680 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 680 Silver
Exynos 2100 (5nm)
1 X 2.9 GHz Cortex X1
3 X 2.8 GHz Cortex A78
4 X 2.02GHz Cortex A55
Snapdragon 888
1 X 2.84 GHz Kryo 680 Prime
3 X 2.42 GHz Kryo 680 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 680 Silver
Mali-G78 MP14Mali-G78 MP14Adreno 660
12 GB LPDRR512/16 GB LPDRR58/12 GB LPDDR5
256 GB UFS 3.1128/256/512 GB UFS 3.1
128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama
50+50+13+3 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/3.0, OIS
Kamera Utama
108+12+10+10 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/4.9),OIS
Kamera Utama
108+13+5 Megapixel (f/1.9+f/2.4+f/2.4),OIS
Kamera Hadapan
30-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
40-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
20-Megapixel
IP68IP68IP68
Tiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Audio Stereo Dolby AtmosAudio Stereo Dolby AtmosAudio Stereo
4500mAh (Berwayar 65W, Nirwayar 30W)5000mAh (Berwayar 25W, Nirwayar 15W)4600 mAh (Berwayar 55W, Nirwayar 50W)
Harga bermula RM 5647*Harga bermula RM4999Harga bermula RM2799

Kesimpulan

Percubaan kali ketiga Oppo untuk siri Find X tahun ini adalah tidak mengecewakan. Walaupun tanpa gimik luar biasa tubuh melungsur seperti Find X, ia masih lagi sebuah peranti yang mempunyai tarikannya tersendiri. Pujian diberikan kepada rekaan tubuh yang seksi lengkap dengan bonggol yang tidak melampau. Panel belakang kacanya yang landai benar-benar unik dan sedap di dalam genggaman tangan. Yang menyedihkan ialah ini semua agak sia-sia jika ditutup dengan kerangka. Tetapi apa kan daya, kerangka kini perlu bagi mengelakkan kerosakan pada panel kaca ini sendiri dan lensa kuda-kamera yang digunakan.

Gabungan perisian dan perkakasan yang baik membuatkan tiada perkara negatif yang boleh diucapkan mengenai penggunaan harian. Ianya mantap, lancar, pantas dan mampu menjalankan kesemua aplikasi yang dipasang tanpa masalah. Pujian yang lebih kami berikan kepada sistem kamera yang mampu menangkap gambar dengan penghasilan warna yang dengan imej yang nampak tajam. Mod malam juga memuaskan. Gimik sistem mikroskop yang disertakan adalah menarik tetapi baik anda mengaku sekarang. Berapa ramai di kalangan anda memerlukan mikroskop dalam penggunaan seharian? Nasib baik dua kamera sudut lebar dan ultra sudut lebar Find X3 Pro adalah amat baik sehingga kekurangan pada bahagian zumnya boleh kami maafkan.

Sebagai kesimpulan Oppo Find X3 Pro ialah sebuah lagi telefon pintar mercu yang tidak mengecewakan di pasaran. Dengan harga jualan bermula dari €1149 (~RM 5647) ia mungkin terlalu mahal dan kami masih menantikan pengumuman mengenai tarikh serta harga jualan di Malaysia kelak.

Pro

  • Rekaan yang unik terutamanya pada bahagian belakang. Sedang dalam genggaman tangan.
  • Kombinasi pemproses, RAM dan storan yang amat baik.
  • Skrin 120Hz adaptif yang cantik.
  • Kemampuan kamera yang amat baik.
  • Bonggol kamera yang tidak terlalu tinggi.
  • Prestasi bateri yang amat memuaskan.
  • Sistem pengecasan yang benar-benar pantas dan diberi dalam kotak.

Kontra

  • Sistem zum tidak setinggi yang ditawarkan pesaing.
  • Hilang pula sokongan kad mikro SD.
  • Isu pemanasan yang ketara ketika menjalankan permua.
  • Sokongan kemas kini Android hanya selama 2 tahun.


TIPS & ULASAN