Spaces ialah jawapan Twitter kepada fenomena Clubhouse. Seperti Clubhouse, pengguna boleh membuka bilik peribadi untuk melakukan perbualan secara audio di dalam Spaces. Selepas mula membenarkan kesemua pengguna memasuki Spaces di susur masa, kini menurut laporan The Verge kesemua pengguna kelak boleh menjadi hos mereka sendiri bermula April.

Ini diumumkan oleh wakil Twitter sendiri di dalam sebuah sesi yang dilakukan dalam Spaces baru-baru ini. Untuk mengalahkan Clubhouse, Spaces perlu bergerak lebih pantas. Pada waktu ini Clubhouse masih hanya boleh diakses mereka yang menerima jemputan dari pengguna sedia ada. Kemudian ia hanya boleh digunakan oleh mereka yang mempunyai peranti iOS sahaja. Keeksklusifan ini membuatkan jumlah pengguna Clubhouse masih lagi agak terhad.
Spaces mempunyai kelebihan kerana pada waktu ini sesi audio yang dilakukan boleh diakses pengguna Android dan iOS cuma kemampuan menjadi hos dihadkan kepada individu tertentu sahaja. Namun begitu terdapat beberapa ciri lagi perlu ditambah dalam Spaces untuk benar-benar menjadikannya alternatif yang lebih baik berbanding Clubhouse.