Lagu-Lagu K-Pop Di Bawah Label Kakao Entertainment Akan Kembali Ke Spotify

Lagu-Lagu K-Pop Di Bawah Label Kakao Entertainment Akan Kembali Ke Spotify

Diterbitkan pada Mac 11, 2021 oleh .

Awal bulan ini, jutaan peminat genre K-Pop dikejutkan selepas lagu-lagu artis di bawah label Kakao-M telah ditarik dari platform Spotify. Ini menimbulkan kemarahan kerana mereka tidak lagi boleh menstrim lagu dari artis seperti IU, Nu’est, MAMAMOO, Epik High, dan GFriend. Tetapi tempoh kemarahan ini akan berakhir selepas Spotify bersetuju untuk memperbaharui lesen global dengan Kakao Entertainment (dulu dikenali sebagai Kakao-M).

Dalam persetujuan baharu ini, 345 juta pengguna Spotify di lebih 170 negara boleh menstrim lagu-lagu artis Kakao Entertainment. Lebih menarik ialah pengguna di Korea Selatan turut dapat melakukan perkara yang sama sedangkan sebelum ini lagu hanya ditawarkan pada perkhidmatan penstriman Kakao Entertainment sahaja.

Walaupun persetujuan telah ditandatangani, sehingga artikel ini ditulis pilihan lagu dari artis yang ditarik masih belum kembali seperti asal. Dalam siaran media tiada pula tarikh diberikan bila ini akan dilakukan. Yang pasti adalah sekurang-kurangnya sudah wujud persetujuan antara kedua-dua syarikat yang membuatkan peminat k-pop masih belum perlu mencari platform penstriman alternatif untuk masa panjang.


Paling Popular