Cari @ Amanz

Asus ROG Phone 5 baru sahaja dilancarkan semalam. Buat pertama kalinya Asus tidak menggunakan cip buatan khas atau edisi “+”, sebaliknya menggunakan cip peranti mercu yang sama dengan pesaing iaitu Snapdragon 888. Asus memperkenalkan tiga variasi iaitu yang biasa, Pro dan Ultimate. Harga jualan juga bermula dari RM2,999 dan dalam ujian kami sendiri ia menerima skor tinggi dalam penanda aras dan adalah peranti Android paling berkuasa setakat ini.

Di China, variasi yang paling murah adalah edisi Tencent. Ia juga adalah antara variasi yang popular dalam kalangan set import kerana harga jualan yang lebih murah dari set rasmi. Terkini, laman Bluetooth SIG telah menyenaraikan sebuah peranti misteri Asus ROG Phone dengan kod nama ASUS_I007D yang diiktiraf menyokong Bluetooth 5.2. Adakah ini bermakna Asus telah mula membangunkan Asus ROG Phone 7? Spekulasi ini timbul kerana kod nama Asus ROG Phone 5 adalah ASUS_I005D.

Asus telah pun melangkau satu nombor dari 4 dan terus lompat ke 5, adakah Asus akan menggunakan trend yang sama untuk model baharu? Atau adakah akan ada satu lagi versi ROG Phone 5 dengan cip pemprosesan lain? Sama-sama kita nantikan kelak untuk ketahui apakah peranti di sebalik kod nama ASUS_I007D.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd