Qualcomm Snapdragon 888 adalah cip peranti mercu yang direka berasaskan binaan 5nm. Ia adalah pesaing kepada Exynos 2100 dan Apple A14 Bionic. Cip ini mempunyai penjimatan penggunaan kuasa sehingga 25% dan peningkatan kuasa GPU sehingga 35%. Qualcomm ada berkongsi skor tanda aras cip ini, ia dilihat mencapai 735,439 yang mana agak tinggi. Tetapi jika dibandingkan dengan cip A14, ia tidak cukup berkuasa kerana ada masalah memanas. Ujian kami sendiri pada tahun lalu memperlihatkan skor maksimum AnTuTu sehingga 667,807 untuk iPhone 12 Pro Max. Jadi, jika sesebuah peranti mencapai lebih 700,000 itu adalah skor yang mengejutkan.

Selama ini, iPhone adalah peranti yang mempunyai cip yang paling berkuasa. Dengan mendahului pasaran dengan cip 5nm, Apple tidak dinafikan berada selangkah di hadapan. Tetapi, ada bagusnya kenapa peranti Android berkuasa mengambil masa. Orang kata, biar lambat asal selamat. Sebelum Apple A14 Bionic diperkenalkan, Snapdragon 865+ pada Asus ROG Phone 3 adalah peranti yang paling berkuasa. Kini dengan kehadiran Asus ROG Phone 5 yang baru sahaja dilancarkan sebentar tadi – peranti ini adalah peranti Android paling berkuasa setakat ini yang tiba di Makmal Amanz. Peranti ini memperoleh skor AnTuTu sebanyak 734,761.

Ini adalah dari ujian kami sendiri. Kami melakukan dua ujian berbeza, satu dengan mod permua diaktifkan dan menggunakan penyejuk Black Shark Fun Cooler Pro untuk diuji pada suhu yang paling optimum. Kami menguji menggunakan AnTuTu dan juga Geekbench 5. Ujian kedua adalah tanpa mod permua diaktifkan dan tanpa menggunakan penyejuk. Ujian pertama memperlihatkan skor 734,761 pada AnTuTu dan 1130/3673 pada Geekbench 5. Ujian kedua pula memperlihatkan skor 733,666 dan 1126/3628.

Geekbench 5 mempunyai skor yang tidak cukup baik. Jelas di sini, cip Apple A14 Bionic masih ada kekuatan tersendiri. iPhone 12 Pro Max pada Geekbench 5 menerima skor 1598/3971. Agak aneh kenapa skor AnTuTu dan Geekbench mempunyai perbezaan yang jauh sekali. Perlu diingatkan juga yang Apple mempunyai penggunaan memori yang lebih rendah. Untuk Exynos 2100 pula, Samsung Galaxy S21 Ultra menerima skor 631,702 untuk AnTuTu dan 1066/334 untuk Geekbench. Agak rendah, tetapi ada banyak peningkatan berbanding cip sebelum ini.
Apa kata anda mengenai cip Snapdragon 888 pada Asus ROG Phone 5? Adakah ini cukup berkuasa? Perlu diingatkan ini adalah variasi 16GB RAM belum lagi versi yang dikhabarkan akan hadir dengan 18GB RAM. Dengan harga bermula dari RM2,999 adakah ini peranti berkuasa yang anda inginkan?