Cari @ Amanz

Xiaomi Mi 11 adalah peranti mercu Xiaomi untuk tahun ini dan ia merupakan satu-satunya peranti Snapdragon 888 yang sudah boleh dibeli. Oppo Find X3 Pro masih tiada harga rasmi dan tarikh pembelian ketika artikel ini ditulis dan Asus ROG Phone 5 pula hanya akan dijual bermula April dan Mei kelak. Jadi, jika anda ingin menikmati pengalaman penggunaan peranti mercu yang dijana cip Snapdragon 5nm – Mi 11 adalah peranti yang patut anda beli.

Selepas beberapa minggu menggunakan peranti ini, saya terus jatuh cinta dengan peranti ini. Bayangkan, saya sanggup pindahkan data WhatsApp dari iPhone ke peranti ini. Kita semua tahu yang proses ini adalah sukar dan ada kemungkinan data akan hilang. Tetapi itulah rasa cinta saya terhadap Mi 11 ini. Ia memberikan pengalaman penggunaan yang sangat memuaskan dan mungkin anda tidak akan menyesal jika membelinya. Tetapi, tiada peranti yang 100% sempurna dan Mi 11 masih ada kekurangannya. Adakah ini peranti untuk anda atau adakah pengorbanan kecil yang Xiaomi lakukan menjejaskan keputusan belian anda? Ayuh baca artikel ulasan ini.


Spesifikasi Dan Rekaan

Xiaomi Mi 11
Skrin6.81″ AMOLED, Corning Gorrila Glass Victus
WQHD+, 120Hz, HDR10+, 10-bit
PemprosesSnapdragon 888 (5nm)
Cip1 X 2.84 GHz Kryo 680 Prime
3 X 2.42 GHz Kryo 680 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 680 Silver
Cip GrafikAdreno 660
RAM8GB LPDDR5
Muatan Dalaman128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama108+13+5 Megapixel f/1.9+f/2.4+f/2.4+f/3.0, Night mode 2.0, HDR10+, 8K30FPS OIS
Kamera Swafoto20 Megapixel f/2.2
Selfie Night mode, HDR
Bateri4600mAh
Pengecasan berwayar 55W
Pengecasan nirwayar 50W
Pengecasan nirwayar berbalik 10W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin dengan pengimbas nadi
Harga JualanBermula dari RM2799

Xiaomi tidak menggunakan teknologi OLED terkini seperti yang akan digunakan pada Redmi K40, kerana kamera swafoto skrin berlubang pada peranti ini masih lagi di sisi atas bukan di bahagian tengah. Skrin juga melengkung ke dua-dua sisi untuk menawarkan rekaan yang lebih nipis. Tetapi syukur, lengkungannya tidak begitu dalam dan masih mudah untuk digunakan tanpa ada masalah tapak tangan yang tersentuh. Peranti ini menggunakan rekaan modul kamera serba baharu, di mana modul tidak tebal dan menjengkelkan dan hanya ada satu lensa tebal seakan iPhone 12 atau Oppo Reno5. Rekaan modul kamera ini akan diteruskan ke pelbagai lagi peranti Xiaomi yang lain.

Panel belakang adalah kemasan pusam, tetapi masih menangkap kotoran cap jari dan agak licin. Walaupun begitu, rekaan yang nipis membuatkan peranti ini masih selesa dipegang di tangan untuk penggunaan jangka masa panjang. Mi 11 turut masih mengekalkan sensor infra merah untuk dijadikan sebagai alat kawalan, yang mana pesaing sudah tidak menyertakannya lagi. Walaupun saya kurang menggunakannya, ia adalah fungsi yang patutnya Xiaomi tinggalkan kerana banyak peranti kelak akan bergantung kepada UWB dan WiFi sahaja.

Bercakap mengenai itu, Mi 11 juga masih lagi peranti mercu asas kerana banyak fungsi dan ciri yang ditawarkan adalah bukan gimik dan benar-benar boleh digunakan. Mi 11 tiada sokongan UWB, tiada sokongan stilus, tiada sokongan kamera mikroskop dan lain-lain lagi. Apa yang anda lihat, itu yang anda terima dan itu yang anda akan gunakan.

Sensor ini diletakkan di bahagian atas bersama-sama dengan lubang mikrofon dan kekisi pembesar suara. Ya, pembesar suara stereo peranti ini adalah hebat sekali di mana terdapat dua kekisi di atas dan di bawah peranti berbeza dengan rekaan pesaing yang meletakkannya di bahagian bezel atau di belakang skrin. Turut berada di bawah adalah port USB-C 2.0 dan slot kad sim. Di sisi kiri tiada apa-apa, tetapi di sisi kanan ada butang aras suara dan juga butang kuasa.

Xiaomi Mi 11 membawakan rekaan yang segar dan berlainan dengan peranti mereka sebelum ini. Perubahan rekaan peranti mercu Xiaomi ini mula dilihat sejak Mi 10, tetapi Mi 11 yang berjaya memikat hati saya. Mi 11 adalah peranti dengan rekaan ringkas dan minimal tanpa ada gimik-gimik, tetapi masih kelihatan premium.

Pengalaman Penggunaan

Menggunakan peranti ini sungguh memuaskan. Skrin Xiaomi Mi 11 adalah antara skrin peranti mercu yang paling menarik pernah saya gunakan. Apabila dibandingkan dengan Oppo Find X3 Pro, iPhone 12 Pro Max dan Samsung Galaxy S21 Ultra – Mi 11 mempunyai kualiti skrin yang hampir dengan Samsung. Skrin AMOLED bersaiz 6.81″ dengan resolusi WQHD+ 1440 x 3200 piksel ini menyokong paparan warna 10-bit, HDR10+ dan kecerahan sehingga 1500 nits. Selain itu, skrin peranti ini juga menyokong kadar segar semula 120Hz dengan kadar sentuhan 480Hz yang menjadikan tatalan lebih lancar dari biasa.

Nisbah skrin adalah 20:9, dilindungi dengan kaca Corning Gorilla Glass Victus, mempunyai sistem kecerahan Sunlight mode 3.0, sensor cahaya ambien 360 darjah, serta perlindungan mata yang diiktiraf SGS Eye Care Display Certification. DisplayMate turut memberi skor A+ untuk skrin peranti ini. Mi 11 tiada masalah warna atau isu ghosting, HDR disokong di bawah format HDR10+ yang cukup “berseni”. Saya cuba menonton video HDR Netflix dan YouTube 2160p60fps HDR – ia sangat menakjubkan dan memuaskan. Penggunaan di bawah matahari terik juga tidak bermasalah, semuanya dapat dilihat dengan jelas. Kecerahan yang baik menyumbang kepada pengalaman yang baik.

Pengimbas cap jari yang digunakan adalah jenis bawah skrin. Mengejutkan, ia masih jenis optikal bukannya ultrasonik. Walaupun begitu, ia masih menyokong imabasan nadi. Sensor yang digunakan adalah Sensor Ultra-Nipis Optikal Goodix IN-DISPLAY FINGERPRINT SENSOR. Sensor ini cukup tepat dan pantas untuk menyahkunci peranti. Tetapi imbasan nadi adalah agak perlahan dan mengambil masa beberapa saat, tetapi syukur data diperoleh adalah lebih kurang dengan penjejak kesihatan.

Cip pemprosesan adalah Snapdragon 888, yang mana dipadankan dengan GPU Adreno 660. Ia adalah cip lapan teras dari 1 teras 2.84 GHz Kryo 680, 3 teras 2.42 GHz Kryo 680 dan 4 teras 1.80 GHz Kryo 680. Cip ini adalah rekaan 5nm yang mana menjanjikan penggunaan kuasa yang lebih baik, lebih sejuk, lebih efisien dan secara teorinya lebih berkuasa dan jauh lebih lancar. Unit yang saya ulas mempunyai memori 8GB RAM dan storan dalaman adalah 128GB jenis UFS 3.1. Peranti ini cukup pantas, lancar dan gempak. Tidak sangka memori 8GB RAM mempunyai prestasi yang luar biasa. Jarang saya terima peranti yang RAM rendah mempunyai prestasi yang sangat lancar untuk Android.

Kebiasaannya peranti Xiaomi apabila awal penggunaan, seperti dalam proses menetap, memasang aplikasi, pemindahan data – ia akan memanas, skrin kadar segar semula seakan tidak berfungsi dan masalah lengah masa akan berlaku. Tetapi Mi 11 apabila melakukan hal sedemikian, tiada sebarang masalah berlaku. Ia masih lancar dan peranti juga tidak panas dalam penggunaan biasa sepanjang hari. Dalam penggunaan selepas beberapa minggu peranti ini memberikan pengalaman sentuhan yang sangat baik. Skrin kadar segar semula 120Hz adaptif benar-benar membantu. Kemampuan multi-tugasan pada peranti ini adalah baik sekali. Dengan sokongan tetingkap terapung dan mampu menjalankan banyak aplikasi serentak – ia masih lancar dan tiada masalah sistem tergendala.

Menggunakan peranti ini tidak kira untuk kerja, fotografi, videografi atau hiburan tetap akan memuaskan semua orang. Menaip pada peranti ini juga cukup selesa dengan enjin getaran yang baik dan tidak rasa seakan getaran peranti murahan. Kadar sentuhan 480Hz menjadikan peranti ini lebih responsif dan tiada masalah sela masa pada setiap tatalan. Saya sudah bermain permua, menulis artikel dan lakukan banyak aktiviti pada peranti ini dan Mi 11 tiada masalah untuk apa jua jenis tugasan.

Mi 11 boleh dikatakan sudah hampir mencapai ke peranti mercu sempurna. Ia memuatkan kamera yang baik, mempunyai sistem pengecasan pantas, pengecasan pantas nirwayar dan pengecasan nirwayar berbalik. Skrin 120Hz, HDR10+, 10-bit, AMOLED dan banyak lagi – tetapi ia masih tidak mempunyai IP68. Pada hemat saya, kos sensor infra merah itu patut dialihkan ke lesen IP68.

Permua Dan Penanda Aras

Dengan wujudnya permua Genshin Impact, saya jadikan permua ini sebagai “alat” untuk menguji kemampuan bermain permua. Sudah semestinya, tetapan awal yang kami gunakan adalah tetapan paling tinggi dengan mod 60FPS diaktifkan. Sayang sekali, peranti ini mula memanas pada 10 minit pertama, yang mana panas sangat sehingga sukar untuk memegang peranti ini. Bukan itu sahaja, prestasi permua juga adalah tidak baik di mana terdapat sedikit lengah masa. Ia sekadar boleh main sahaja. Walau bagaimanapun, tetapan medium dengan 60FPS ia sangat lancar dan pantas. Peranti juag hanya suam sahaja dan masih boleh dipegang.

PUBG Mobile dan Asphalt 9 dilihat mampu ditetapkan kepada tetapan grafik paling tinggi dan boleh dijalankan tanpa sebarang masalah. Jika itu adalah permua yang anda main, Mi 11 tiada masalah untuk menjalankannya. Satu sesi PUBG Mobile tetapan Ultra sangat lancar, tetapi memanas. Apabila tetapan High sahaja sambil membuat rakaman skrin, ia cukup baik dan memberikan pengalaman yang memuaskan.

Untuk ujian penanda aras, saya gunakan Don’t Kill My App untuk menguji kemampuan pengurusan memori. Skor yang diperoleh adalah 100% dalam ujian 3 jam. Jadi ini membuktikan dakwaan saya yang peranti ini tiada masalah dalam multi-tugasan dan aplikasi yang berjalan di latar. Walaupun sudah berminggu menggunakan peranti ini dengan banyak aplikasi terpasang, langsung tiada masalah prestasi yang menjadi semakin perlahan. Ujian AnTuTu dan Geekbench 5 pula ia adalah antara yang tertinggi pernah kami temui untuk peranti tahun ini. Jikalau Oppo Find X3 menerima skor Geekbench 5 sebanyak 933/3306 dan AnTuTu sebanyak 630,020 Mi 11 menerima skor 1127/3670 dan 706990. Mata 1066/3345 pada Geekbench 5 dan mata 631,702 pada AnTuTu adalah yang diperoleh Samsung Galaxy S21 Ultra dengan cip Exynos 2100. Ternyata di sini, Mi 11 tergolong dalam kategori peranti Android terhebat.

Semasa pelancaran Mi 11 di China Disember tahun lepas, Xiaomi memperlihatkan skor AnTuTu 745,942. Saya yakin itu adalah versi 12/256 GB dengan ujian pada tahap paling optimum. Kemudian versi China tiada GMS yang memakan banyak memori. Jadi untuk versi global dengan penggunaan harian menerima skor setinggi ini, ia adalah menakjubkan. Perkara ini sudah semestinya turut dibantu oleh perisian, yang mana akan saya ceritakan di perenggan di bawah.

Perisian

MIUI 12 masih lagi digunakan pada peranti ini. Tetapi ia berasaskan Android 11. Agak mengecewakan yang Xiaomi mengambil masa yang agak lama untuk menawarkan MIUI 12.5 yang sepatutnya mempunyai kemampuan yang lebih hebat dengan fungsi dan ciri lebih menarik. Walaupun begitu, versi global MIUI 12 ini terasa lebih kosong dan berbeza dengan MIUI 11. Ia sudah mula mengimplementasikan lebih banyak elemen Android asli dan juga banyak bergantung kepada aplikasi Google berbanding aplikasi tersendiri.

Elemen-elemen Android asli Android 11 banyak boleh digunakan dengan lancar sekali. MIUI 12 dengan rekaan yang masih sama dengan MIUI 11 tidak membosankan kerana masih lancar dan tidak ada masalah sistem tergendala atau lengah masa. Secara keseluruhan, MIUI 12 yang digunakan masih sama – hanya MIUI 12.5 mempunyai banyak perubahan ketara. Buat masa ini, MIUI 12 sedia ada ini amat sesuai digunakan oleh bekas pengguna peranti Android asli dan juga iOS.

Antaramuka MIUI 12 yang mirip dengan iOS ini lebih kemas dan lebih cantik. Ia disusun rapi, mudah dikawal dan dikendalikan. Penggunaan keseluruhan juga mudah dengan banyak ciri dan fungsi yang pada suatu masa dahulu adalah gimik, kini adalah alatan yang amat berguna. Dari Game Turbo untuk permua, aplikasi kamera yang banyak penuras dan pelbagai kesan visual menarik serta kemampuan berinteraksi dengan peranti lain seperti berkongsi fail dengan jauh lebih pantas.

Tidak dinafikan yang Xiaomi cuba sedaya upaya membaiki paparan notifikasi. Kini ada banyak mod dan jenis untuk pengguna berinteraksi dengan talam notifikasi. Tetapi sayang sekali, cara MIUI memaparkan notifikasi masih sedikit bermasalah dan ada banyak pepijat. Ia kadangkala memaparkan notifikasi dengan teks yang melapisi teks lain atau mesej WhatsApp dari nama orang lain tetapi yang dipaparkan adalah mesej dari orang lain. Apa yang pelik adalah, MIUI global sahaja ada masalah ini. MIUI di China dilihat mempunyai paparan notifikasi yang baik sekali.

Peranti ini turut mempunyai fungsi Back Tap, yang mana sentuh dan ketuk manja di belakang peranti untuk mengakses sesuatu. Ini adalah fungsi yang ada pada Pixel dan iPhone. Ia masih sukar digunakan dan tidak begitu responsif, tetapi cukup menarik untuk melihat Xiaomi tidak ketinggalan dan mengikuti jenama besar.

Telefoni Dan GPS

GPS pada peranti ini cukup pantas dan jitu. Tidak kira Google Map atau Waze, peranti ini boleh mengikut arahan selok-belok dengan baik dan tepat. Penggunaan sekitar 30 minit juga tidak ada sebarang masalah gangguan rangkaian atau memanas. Tetapi, mana-mana aplikasi peta pada Mi 11 hanya baik digunakan dengan Internet yang laju. Jika sambungan Internet perlahan, ia memuat dengan sangat lama.

Mi 11 adalah peranti 5G, tetapi 5G tidak boleh digunakan di Malaysia. Walaupun begitu, seperti peranti lain – modem 5G pada peranti ini masih ada gunanya seperti menstabilkan isyarat rangkaian 4G dan turut menyokong VoLTE. Penggunaan data mudah alih adalah baik sekali dan tidak ada langsung masalah isyarat tergendala.

Panggilan telefon juga cukup baik dengan kualiti audio yang jelas, terang dan kurang hingar. Tetapi pada bahagian ganggang telefon, audio tidak begitu kuat berbeza dengan pembesar suara dengan mendengar muzik. Ini mungkin hanya perkara kecil pada diri saya, tetapi mereka yang kerap melakukan panggilan telefon – ini adalah isu yang serius. Harapnya ia boleh dibaiki dalam kemaskini perisian.

Kamera

Xiaomi Mi 11 bukan peranti mercu utama Xiaomi, Mi 11 Pro dan Mi 11 Ultra masih belum didedahkan lagi. Oleh yang demikian, peranti ini mempunyai tetapan tri-kamera sahaja dari lensa utama 108 MP, f/1.9, 26mm, 1/1.33″, 0.8µm, PDAF, OIS + lensa sudut ultra lebar 13 MP, f/2.4, 123 darjah, 1/3.06″, 1.12µm dan lensa makro 5 MP, f/2.4, 1/5.0″, 1.12µm. Ia juga mempunyai sistem penstabilan EIS, mampu merakam video HDR10, rakaman 8K 30FPS atau gerak perlahan 240FPS 1080p. Mi 11 turut memfokuskan kepada kemampuan video dengan sistem kecerdasan buatan yang mampu merekam video dengan kesan visual menarik, kawalan manual seakan Pro atau juga melangkau suntingan dan terus hadir dengan video yang kreatif.

Kamera swafoto adalah lensa 20 MP, f/2.2, 27mm, 1/3.4″, 0.8µm yang mampu merakam video resolusi 1080 60fps, video HDR, Selfie Night mode atau gerak perlahan 120fps 720p. Aplikasi kamera juga ringkas digunakan dan mudah dikendalikan dengan menu yang boleh diubahsuai oleh pengguna. Penggunaan kamera Mi 11 dengan MIUI 12 adalah cukup baik dan mudah sahaja.

Untuk Mi 11, pelbagai mod kreatif ditawarkan agar pengguna biasa boleh cuba merakam video atau mengambil gambar dengan hasil seakan diambil oleh profesional. Pelbagai mod menarik seperti fungsi Ultra Night Video, Magic Zoom, Time Freeze atau Parallel World dan banyak lagi. Mod Clone yang sedia ada juga ditambah baik dan mempunyai masa proses siap yang lebih pantas.

Kualiti Gambar

Sejak Xiaomi mula menggunakan kamera 108MP untuk peranti mercu, perubahan drastik dari sains warna gambar kamera Mi 10 mula jelas kelihatan. Ia mula mempunyai kemampuan fotografi yang baik serta kemampuan videografi yang lebih hebat. Secara keseluruhan, walaupun hanya dengan tiga lensa – kamera hasil kamera Mi 11 ini akan mengujakan anda. Ia akan membuatkan anda tertanya Wow, betul ke ni pakai Mi 11?

Mi 11 tiada langsung masalah fokus, masa menekan pengatup dan gambar di proses juga pantas. Sensor yang besar dengan cip yang hebat mengambil masa yang singkat dalam pasca-proses. Sistem fokus pada Mi 11 tidak kira pada foto atau video adalah pantas sekali. Tidak kira apa jua mod rakaman hasil yang diperoleh memuaskan.

Anda lihat sendiri hasil yang saya ambil ini, di bawah adalah mod potret pada kamera belakang, mod makro, sudut ultra lebar, sampel zum, sampel mod malam dan beberapa lagi. Mi 11 mempunyai warna yang lebih tajam, lebih menyerlah dan memelihara butiran dengan baik. Sistem kecerdasan buatan tidak berlebihan mengaplikasikan penuras atau profil warna dengan argresif. Cuma seperti biasa, pada zum digital pasti akan ada hingar dan hasil yang kurang kemas. Mod potret juga sedikit lembut dan tidak begitu natural dan kemas. Walaupun kelihatan cantik, jika diteliti mod potret Mi 11 bukannya terbaik.

Makro mempunyai hasil yang cukup baik dengan jarak fokus yang dekat dan pantas. Hasil yang kurang hingar berbanding sebelum ini, tetapi tewas dengan Oppo Find X3 Pro dengan kemampuan mikroskop. Imej sudut ultra lebar masih ada sedikit kesan herotan, tetapi tidak teruk dan masih kemas.

Video juga antara kekuatan Mi 11. Akhirnya selepas bertahun lamanya Xiaomi mempunyai masalah di mana video tidak begitu cantik dan kemas, peranti ini akan memberikan anda rasa puas hati. Rakaman video yang lama dan mod yang ekstrem seperti mod AI, 8K atau kesan-kesan visual lain akan menjadikan peranti sedikit panas. Tetapi panas itu berbaloi jika hasil videonya hebat dan baik.


Audio

Xiaomi buat pertama kalinya bekerjasama dengan syarikat audio premium milik Samsung, iaitu Harmon/Kardon. Biasa sistem ini dilihat hadir pada aksesori audio Samsung seperti AKG dan Harmon/Kardon. Peranti Samsung sendiri masih menggunakan Dolby Atmos. Untuk itu, Mi 11 membawakan sistem pembesar suara stereo yang cukup hebat, kuat, lantang dan seimbang.

Xiaomi menggunakan tetapan satu pembesar suara di atas peranti dan satu di bawah, berbeza dengan pesaing yang meletakkan pada bezel atas atau di belakang skrin. Pada tetapan paling tinggi pun audio yang dihasilkan masih cukup jelas dan banyak butiran boleh didengarkan. Sistem Harmon/Kardon disertakan pada Mi 11 boleh diubahsuai oleh pengguna dari tetapan auto, khusus untuk muzik atau video.

Prestasi audio Mi 11 kini setanding dengan peranti mercu mahal seperti Samsung dan Apple. Jika ada aksesori audio yang baik seperti TWS premium Xiaomi tersendiri, pasti ia mempunyai padanan terbaik kerana ekosistem. Aksesori audio tambahan akan membantu untuk memudahkan pengguna kerana tiadanya port bicu audio 3.5mm.

Bateri

Peranti ini menggunakan bateri 4600mAh dengan sokongan pengecasan pantas 55W Turbo Charge berasakan Quick Charge 4+. Ia juga menyokong pengecasan USB-PD 3.0 dan pengecasan nirwayar pantas 50W. Ia juga menyokong pengecasan nirwayar berbalik 10W. Rekaan peranti yang nipis ini, siapa sangka mempunyai ketahanan bateri yang hebat. Mi 11 tiada masalah untuk bertahan melangkau 7 jam SOT dalam satu hari penggunaan. 7 jam SOT yang saya peroleh adalah dengan penggunaan media sosial, menstrim video, menguji kamera dan bermain permua dalam sesi yang singkat.

Tetapi, jika menstrim dengan sambungan Internet pantas dan bermain permua yang berat seperti Genshin Impact akan menjadikan peranti lebih cepat kehabisan bateri. Dari 100%, 30 minit pertama bermain permua sudah boleh turun ke 90% dan peranti mula memanas. Penggunaan seterusnya yang ringan akan memberikan sedikit ketahanan sekitar 5 jam SOT sehari.

Sistem pengecasan pantas Mi 11 adalah berasaskan GaN untuk mengurangkan masalah memanas. Syukur dengan teknologi ini, kurang satu jam peranti boleh dicas sehingga penuh. Dengan tambahan menyokong pengecasan nirwayar pantas, Mi 11 mempunyai kaedah pengecasan menarik. Sayang sekali hanya pengecas tersendiri yang tidak lagi dijual di sini sahaja boleh digunakan. Pengecasan nirwayar berbalik juga akan memberikan satu nilai tambahan untuk “menganjing” rakan yang memiliki peranti mahal tapi ciri dan fungsi terhad.

Pesaing

Oppo Find X3 ProSamsung Galaxy S21 UltraXiaomi Mi 11
Skrin6.7″ AMOLED, 1440 x 3216, HDR10+, 120Hz (525 ppi)6.8″ Dynamic AMOLED 2X, 1440 x 3200, HDR10+, 120Hz (515 ppi)6.81″ AMOLED, 1440 x 3200, HDR10+, 120Hz (515 ppi)
Cip PemprosesanSnapdragon 888
1 X 2.84 GHz Kryo 680 Prime
3 X 2.42 GHz Kryo 680 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 680 Silver
Exynos 2100 (5nm)
1 X 2.9 GHz Cortex X1
3 X 2.8 GHz Cortex A78
4 X 2.02GHz Cortex A55
Snapdragon 888
1 X 2.84 GHz Kryo 680 Prime
3 X 2.42 GHz Kryo 680 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 680 Silver
GPUMali-G78 MP14Mali-G78 MP14Adreno 660
RAM12 GB LPDRR512/16 GB LPDRR58GB LPDDR5
Storan256 GB UFS 3.1128/256/512 GB UFS 3.1128/256 GB UFS 3.1
Kamera BelakangKamera Utama
50+50+13+3 Megapixel f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/3.0, OIS
Kamera Utama
108+12+10+10 Megapixel (f/1.8+f/2.2+f/2.4+f/4.9),OIS
Kamera Utama
108+13+5 Megapixel (f/1.9+f/2.4+f/2.4),OIS
Kamera SwafotoKamera Hadapan
30-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
40-Megapixel f/2.2
Kamera Hadapan
20-Megapixel
IPIP68IP68Tiada
Port Bicu Audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mmTiada bicu audio 3.5mm
Pembesar SuaraAudio Stereo Dolby AtmosAudio Stereo Dolby AtmosAudio Stereo Harman/Kardon
Bateri4500mAh (Berwayar 65W, Nirwayar 30W)5000mAh (Berwayar 25W, Nirwayar 15W)4600 mAh (Berwayar 55W, Nirwayar 50W)
HargaHarga bermula RM 5647*Harga bermula RM4999Harga bermula RM2799

Kesimpulan

Xiaomi Mi 11 memberikan pengalaman penggunaan yang sangat menarik. Sepanjang beberapa minggu penggunaan saya amat berpuas hati dan tiada rasa kecewa langsung. Kali terakhir saya ada perasaan seronok menggunakan peranti Xiaomi adalah dengan Mi 6 yang sudah beberapa tahun lamanya. Saya rasa gembira dapat alami perassan seronok yang sama dengan Mi 11. Ini baru Mi 11 asas, belum lagi yang Pro atau kelak variasi Ultra. Skrin yang sangat cantik, kemampuan 120Hz yang luar biasa menjadikan ia sangat lancar dan pantas. Bukan itu sahaja, kemampuan kamera juga mengejutkan. Xiaomi akhirnya mampu memberikan kemampuan videografi yang lebih baik. Fotografi juga dilihat lebih hebat dengan sistem kecerdasan buatan lebih pintar.

Snapdragon 888 adalah cip yabng ternyata hebat dan berkuasa. Penggunaan dunia sebenar ternyata ia lebih hebat dari Exynos 2100 dan Apple A14. Tetapi Snapdragon 888 vs Apple A14, Apple masih mendahului dengan GPU yang hebat kerana tiada isu bermain Genshin Impact dan tiada isu memanas yang serius. Xiaomi turut membuktikan yang mereka turut hebat dalam gabungan perisian dan perkakasan yang baik.

Jarang sama sekali untuk peranti dari China menawarkan pengalaman penggunaan kurang gimik dan semuanya berguna. Mi 11 memberikan satu pengalaman penggunaan seakan Pixel di mana hanya satu kamera, spesifikasi biasa, tetapi dengan perisian hebat – pengalaman penggunaan adalah hebat. Walaupun begitu, MIUI masih ada kurangnya jika dibandingkan dengan Color OS baharu, saya lebih gemar sistem operasi Oppo dan Vivo dengan Funtouch OS yang lebih ke arah Android asli bukan dari ciri dan fungsi – tetapi dari antaramuka juga.

Harga jualan yang bermula dari RM2,799 adalah amat berbaloi dan merupakan peranti mercu mampu milik. Anda rasakan ini mahal? Realme GT di China dengan cip yang sama pada harga sekitar RM2000 sahaja? Peranti itu pun dihalang oleh AnTuTu kerana mengelat. Kenapa masih perlu lakukan perkara keji sedangkan cip ini sudah pun cukup berkuasa. Xiaomi sudah buktikan. Mungkin jika anda inginkan peranti yang lebih murah, nantikan Redmi K40 atau Poco baharu.


Pro

  • Skrin yang sangat cantik dan menakjubkan, serta 120Hz adaptif yang sangat lancar
  • Kemampuan kamera yang menjanjikan pengalaman penggunaan seakan pro, tidak kira fotografi atau videografi
  • Rekaan yang nipis, selesa di tangan dan binaan premium
  • Prestasi yang sangat lancar dan tiada masalah lengah masa
  • Ketahanan bateri yang lama dengan pengecasan pantas
  • Harga jualan peranti Snapdragon 888 termurah setakat ulasan ini ditulis

Kontra

  • Masih lagi MIUI 12 dengan banyak iklan dan aplikasi gendut
  • MIUI 12 masih ada masalah notifikasi
  • Pembesar suara pada aras 100% tidak memelihara butiran yang baik dan sedikit pecah
  • Walaupun ada sistem palm rejection sudah boleh ditetapkan secara manual dalam MIUI 12 – ia masih tidak cukup baik
  • Panel belakang yang menangkap kotoran cap jari
  • Pengimbas cap jari masih optikal dengan sokongan imbasan nadi yang gimik semata
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd