IDC sebelum ini pernah melaporkan bahawa pengeluaran tablet telah meningkat sebanyak 13.9% sepanjang tahun 2020 – sekaligus memperlihatkan peningkatan jumlah sebanyak 164.1 juta unit berbanding 144.5 juta sepanjang tahun 2019. Peningkatan ini memberi kesan positif kepada segmen pengeluaran tablet dan mungkin disebabkan itu, Oppo juga mula mempertimbangkan untuk menghasilkan tablet pertama mereka sendiri.

Laporan memetik sumber mendakwa perkara ini sebenarnya masih lagi dalam perancangan dan tidak banyak yang diketahui mengenainya – termasuklah nama khusus model dan rakan kongsi untuk komponen dalamannya. Menurut spekulasi awal, Oppo dipercayai memperkenalkan tablet mereka sekitar tahun ini. Ia juga mungkin dilancarkan di pasaran China terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke pasaran luar. Pada masa sama, tablet ini juga dipercayai menggunakan sistem operasi Android secara terus daripada kotak. Selain daripada Oppo, Xiaomi juga dikatakan bakal hadir dengan barisan tablet Mi Pad baharu pada tahun ini.
Buat masa ini, perlu diingatkan maklumat dikongsi masih lagi diperingkat ura-ura. Tapi jika ianya benar, kita boleh menyaksikan Oppo sememangnya bakal bersaing hebat dengan sejumlah pengeluar tablet sedia ada yang lain – antaranya seperti Samsung, Huawei, Honor, Lenovo dan banyak lagi. Apa pun, sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut berkaitan perkara ini.