Carian
Tim Berners-Lee Berkata Internet Harus Menjadi Hak Asasi Asas
March 13, 2021 Effi Saharudin

Tim Berners-Lee ialah insan yang lebih dikenali orang ramai sebagai bapa Internet. Sempena ulang tahun Internet yang ke-32, beliau berkata ia seharusnya menjadi hak asasi asas setiap insan di dunia. Dalam sebuah blog yang diterbitkan di laman Web Foundation, Berners-Lee berkongsi data bahawa hanya 1/3 individu di bawah usia 25 tahun mempunyai akses kepada Internet di rumah.

Ini adalah situasi yang merisaukan kerana pada pandangan beliau setiap anak muda yang tidak mendapat capaian Internet menyebabkan kehilangan peluang untuk melihat idea dan inovasi baharu yang boleh membantu umat manusia. Tambah beliau lagi seperti bekalan elektrik, akses kepada Internet perlu dilihat sebagai hak asasi asas bagi memperkasakan mereka untuk mengubah dunia.

Apa yang diucapkan oleh beliau ini sangat relevan terutamanya ketika dunia masih menentang pandemik. Kesenggangan teknologi Internet di Malaysia terdedah dengan penduduk luar bandar terpaksa memanjat pokok dan menggunakan peranti booster dan repeater yang diharamkan untuk mendapatkan capaian yang stabil. Berita baik bagi rakyat Malaysia, kerajaan telahpun mengakui perkhidmatan Internet jalur lebar sebagai utiliti dalam menjelang 2025.

Komen