Cari @ Amanz

Ehang adalah syarikat terawal yang menawarkan perkhidmatan teksi terbang mereka kepada umum bermula di China tahun lalu. Pengunjung pusat peranginan di daerah Guangzhou boleh menyewa teksi terbang EHang 216 untuk melihat tarikan pelancong dari udara. Mereka kini berkongsi pula pelan membina lapangan teksi terbang yang mirip rumah Ewok dari filem Star Wars : Return of The Jedi.

Lapangan teksi kelihatan seperti pokok dengan platform pendarat di bahagian bumbung. Di bawah platform terdapat pelantar seluas 200 meter persegi untuk penumpang menunggu giliran dan melihat pemandangan sekeliling. Penumpang perlu menaiki lif untuk tiba ke balai berlepas yang terletak pada ketinggian 30 meter. Sebanyak 3 teksi terbang boleh ditempatkan di pad pada satu-satu masa.

Mengekalkan tema pokok, bahagian luaran lapangan teksi ini adalah diperbuat daripada kayu. EHang mendapatkan khidmat firma Giancarlo Zema Design Group (GZDG). Terdapat perancangan meletakkan panel solar bagi menjana tenaga elektrik yang lestari. Rekaan ini akan digunakan di negara-negara Asia dan Eropah apabila EHang mengembangkan operasi mereka ke luar China.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd