Cari @ Amanz

Buka telefon dengan cap jari? Dah lama disokong. Buka pintu dengan cap jari? Juga sudah lama wujud. Apa pula inovasi imbasan cap jari yang seterusnya? Jika soalan ini ditujukan kepada Samsung jawapannya ialah untuk mengesakan identiti sebelum boleh menggunakan kereta.

Paten sistem imbasan cap jari dalam kereta di atas telah ditemui laman PatentlyApple, Samsung membayangkan masa hadapan di mana kereta hanya boleh dihidupkan oleh pengguna yang dibenarkan sahaja dengan identiti disahkan menerusi imbasan cap jari yang terletak pada bahagian stereng. Jika ini masih lagi belum cukup selamat, kereta juga perlu mengesan telefon pintar milik pengguna berada berhampiran sebelum imbasan cap jari boleh dilakukan. Ini ialah idea menarik yang boleh menyelesaikan isu kereta dicuri atau dipandu oleh anak ketika ibu bapa tiada di rumah. Turut dipatenkan ialah pengimbas cap jari terbina pada pemegang pintu.

Samsung masih belum mengeluarkan kereta elektrik mereka sendiri tetapi telah berkongsi konsep Digital Cockpit untuk kereta masa depan mereka sebelum ini. Di CES Januari lalu, mereka ingin meletakkan skrin besar yang saiznya boleh diubah dan skrin berputar seperti Sero pada tempat duduk belakang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd