Tahun lalu Samsung berjanji akan memberikan sokongan versi sistem operasi sehingga tiga generasi pada peranti-peranti mercu mereka sahaja. Peranti bukan mercu sekadar disokong selama dua tahun. Tetapi semasa acara Galaxy Awesome Unpacked malam tadi, mereka mengesahkan Galaxy A72, A52 5G dan A52 akan turut menerima kemas kini 3 versi sistem operasi dan kemas kini keselamatan selama empat tahun.
Tindakan mereka ini pastinya disambut ramai kerana sebelum ini ramai melihat peranti kelas pertengahan adalah dianaktirikan dari segi penerimaan sistem operasi. Oleh itu bagi mereka yang membeli A72, A52 5G dan A52, mereka boleh tenang kerana peranti akan disokong sehingga Android 14. Ini juga menjadikan Samsung pengeluar pertama memberikan komitmen perisian yang selama ini pada peranti kelas pertengahan. Dengan pasaran peranti kelas pertengahan amatlah hangat, pengumuman malam tadi akan memberikan kelebihan kepada Samsung berbanding pengeluar lain.