ZTE S30 Pro akan hadir dengan skrin OLED 144Hz, kamera utama 64MP dan kamera swafoto 44MP. Peranti ini dilihat adalah antara peranti premium ZTE dan berkemungkinan besar terhad untuk pasaran China sahaja. ZTE telah mengesahkan yang peranti ini akan dilancarkan pada 30 Mac kelak. Bersama-sama dengan pelancaran peranti ini, ZTE turut akan memperkenalkan sistem operasi baharu.

Selepas 10 tahun berpengalaman dalam hadir dengan sistem operasi yang mempunyai banyak kemampuan kustomasi, ZTE kini bersedia hadir dengan sistem operasi baharu yang lebih unik, segar, antaramuka baharu dan lebih banyak pilihan kustomasi. Selepas bertahun ZTE menggunakan sistem operasi MiFavor, yang mana kini sudah berada di generasi ke-10 iaitu MiFavor 10.5 – ZTE memperkenalkan MyOS.

MiFavor 10 hadir dengan sokongan rekaan ikon moden yang rata, kemas dan menyokong mod gelap serta boleh mengubah latar belakang putih ke hitam dengan teks hitam ke putih. MyOS akan menawarkan lebih banyak perkara baru. Buat masa ini, ZTE masih tidak mendedahkan butiran jelas mengenai sistem operasi ini. Apa yang pasti ia masih lagi berasaskan Android dan ZTE S30 Pro adalah peranti pertama dengan sistem operasi ini.