Cari @ Amanz

Xiaomi Global hari ini dilihat berkongsi perancangan mereka untuk hadir dengan penawaran peranti baharu tidak lama lagi . Perkara ini dikongsi oleh pihak Xiaomi menerusi beberapa hantaran di media sosial rasmi, sebentar tadi. Melaluinya, Xiaomi dilihat telah menjadualkan sebuah acara pelancaran yang bakal berlangsung pada minggu hadapan, iaitu 29 Mac 2021.

Namun begitu, Xiaomi tidak pula mendedahkan butiran khusus mengenai produk yang bakal dilancarkan kelak. Sebaliknya, mereka sekadar mengacah orang ramai dengan satu poster yang berlatar belakang hitam bersama penggunaan tanda tagar #XiaomiMegaLaunch pada entri yang dimuat-naik. Dalam pada itu, Xiaomi turut mengatakan ini adalah salah satu acara pelancaran yang lebih baik dan tidak boleh ketinggalan oleh mana-mana pihak.

Menurut spekulasi awal, Xiaomi dijangka memperkenalkan beberapa model baharu di bawah siri Mi 11 – ia termasuk Mi 11 Pro atau Mi 11 Ultra. Di samping itu, mereka dijangka turut mengumumkan beberapa produk lain lagi. Seperti biasa, segala persoalan utama yang bermain di fikiran bakal terjawab ketika acara pelancaran berkenaan kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd