Set LEGO NASA Discovery Space Shuttle Boleh Anda Miliki Pada Harga RM800

Set LEGO NASA Discovery Space Shuttle Boleh Anda Miliki Pada Harga RM800

Diterbitkan pada Mac 24, 2021 oleh .

Sebagai insan yang dilahirkan pada dekad 70an dan membesar pula di dekad 80an, LEGO dan kapal angkasa Space Shuttle adalah dua benda yang menarik minat saya ketika membesar. LEGO ialah permainan paling popular dan Space Shuttle pula terpahat di dalam kepala kerana tragedi Challenger. Semalam set LEGO NASA Discovery Space Shuttle telah diumumkan dan nyata sekali menyasarkan peminat set binaan yang sudah agak berusia.

Set mengandungi 2354 keping LEGO yang akan menghasilkan kapal angkasa Discovery serta teropong angkasa lepas Hubble. Apabila siap dipasang ia sepanjang 55.46cm, selebar 34.6 cm dan setinggi 21.78 cm. Ruang karbon set ini boleh dibuka bagi menempatkan Hubble dan tangan robot RMS yang digunakan ketika misi STS-31. Dalam kokpit pula lima tempat duduk dihasilkan semula seperti Discovery sebenar.

Discovery menjadi pilihan kerana ia memegang rekod sebagai kapal angkasa yang paling banyak melakukan misi dalam sejarah. Dalam tempoh 27 tahun, ia melakukan 39 misi termasuk meletakkan Hubble di orbitnya sekarang. Ia juga adalah Space Shuttle yang pertama bersara dan kini tugas menghantar angkasawan NASA dilakukan oleh SpaceX Crew Dragon.

Bagi mereka yang berminat, LEGO NASA Discovery Space Shuttle akan mula dijual 1 April hadapan pada harga RM799.90 sebuah.


Paling Popular