Facebook Sedang Membangunkan Ciri Perbualan Audio Melalui Messenger Rooms

Facebook Sedang Membangunkan Ciri Perbualan Audio Melalui Messenger Rooms

Diterbitkan pada Mac 24, 2021 oleh .

Konsep panggilan audio beramai-ramai yang dipopularkan Clubhouse beberapa bulan yang lalu telah memperlihatkan sejumlah aplikasi baru yang mengatakan mereka boleh melakukan perkara yang sama pada lebih banyak platform.

Malah, platform sosial media popular seperti Twitter telahpun mula memperkenalkan ciri Twitter Spaces yang sedikit sebanyak meniru penawaran Clubhouse tetapi pada skala pengguna yang lebih besar.

Terkini, tiba giliran Facebook pula, yang dilaporkan sedang membangunkan ciri panggilan audio berkumpulan terbina melalui ciri panggilan video berkumpulan Messenger Rooms yang diperkenalkan pada tahun lepas.

Ciri ini ditemui oleh Alessandro Paluzzi yang memperlihatkan rekaan antaramuka ciri tersebut di Twitter. Beliau turut memperlihatkan pilihan Rooms, yang termasuk panggilan telesidang, panggilan audio peribadi berkumpulan dan juga bilik audio yang boleh dimasuki sesiapa yang berminat untuk mendengar.

Binaan untuk ciri ini ditemui beliau melalui kod eksperimentasi pada platform Android, dan terdapat kebarangkalian akan diperlihatkan secara lebih mendalam dalam masa beberapa bulan lagi, sama seperti Clubhouse yang sebelum ini melaporkan bahawa ia akan mengambil masa beberapa bulan untuk diperkenalkan pada platform Android.


Paling Popular