Selepas hadir dengan Realme GT, kini jenama ini dalam perancangan untuk pengenalan Realme GT Neo pula. Peranti pintar ini akan tiba secara rasmi pada penghujung bulan ini dengan janaan cip MediaTek Dimensity 1200. Dengan ini, ia akan menjadikan antara yang terawal menggunakan cip berkenaan.
Kini, lebih banyak maklumat berkaitannya yang dikongsi. Ini termasuklah rekaan dan juga jenis sensor yang akan digunakan olehnya. Dari segi rekaan, jelas kelihatan ia mempunyai panel belakang dengan kemasan berkilauan seakan Oppo Reno5. Turut kelihatan, terdapatnya satu jalur berkilat dengan penjenaan “Realme Dare To Leap” bersama-sama dengannya.
Selain itu, rekaan modul kameranya pula sangat mirip dengan sejumlah peranti mereka yang sebelum ini. Melaluinya, ia menempatkan sokongan tiga kamera utama bersama sokongan LED Flash dalam bentuk memanjang. Untuk bahagian sisi, ia memperlihatkan butang kuasa di sebelah kanan, sementara itu butang laras suara pula ditempatkan pada sisi bertentangan. Buat masa ini, apa yang menjadi persoalan hanyalah mengenai panel hadapannya.

Dalam perkongsian berbeza, Realme GT Neo juga akan mempunyai sokongan kamera utama 64-Megapixel. Pada masa sama, lensa utama ini juga akan mengunakan sensor daripada Sony iaitu IMX682. Dalam pada itu, Realme juga mengatakan peranti ini akan mempunyai keupayaan lebih baik dengan butiran pada gambar yang baik meskipun ketika dizum.