Empat tahun lalu, Nokia kembali semula ke arena telefon pintar dengan Juho Sarvikas menjadi ketua pegawai produk mereka. Beliau menjadi individu yang paling sinonim dengan Nokia di bawah HMD Global dan kerap melakukan pengumuman produk menerusi akaun media sosial beliau. Tetapi selepas 15 tahun bertugas di Nokia dan HMD, beliau telah mengumumkan akan meninggalkan syarikat.
Pengumuman mengejut telah dilakukan ada 26 Mac lalu menerusi akaun media rasmi beliau. Namun begitu sebab mengapa beliau meletakkan jawatan tidak pula diketahui pada waktu ini. Ia juga dilakukan hanya seminggu sebelum acara khas yang akan dilakukan oleh Nokia untuk melancarkan produk pada 8 April hadapan.
Kemunculan semula Nokia ke persada telefon pintar pada awalnya disambut baik oleh pengguna yang bernostalgia dengan peranti pertama mereka. Tetapi sejak akhir-akhir ini produk Nokia dilihat kurang kompetitif kerana kekurangan ciri dan tidak ditawarkan secara meluas. Masalah penangguhan turut berlaku seperti Nokia 9 Pureview yang mempunyai isu dengan perisian kameranya.