Cari @ Amanz

Program Jalinan Digital Negara, ataupun lebih dikenali sebagai JENDELA dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia bersama-sama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk memperbaiki infrastruktur komunikasi sedia-ada untuk memastikan semua rakyat Malaysia dapat menikmati sambungan internet yang stabil dan pantas supaya tiada siapa yang ketinggalan dalam alaf digital yang serba baru.

Hari ini pihak SKMM telah memperlihatkan laporan perkembangan suku kedua program ini dengan mengumumkan kemajuan dari segi peningkatan liputan rangkaian 4G, penutupan rangkaian 3G dan juga sejumlah maklumat lain yang menerangkan proses untuk membangunkan pencawang-pencawang telekomunikasi di seluruh Malaysia.

Penambahbaikan Rangkaian Internet Tempatan

Seperti yang dikatakan sebelum ini, fokus utama JENDELA ialah untuk menambahbaik rangkaian gentian optik dan rangkaian mudah-alih 4G tempatan ke tahap 96.9 peratus seluruh Malaysia menjelang penghujung tahun 2022 dan meningkatkan kelajuan purata rangkaian tersebut dari 25Mbps ke 35Mbps pada jangkamasa yang sama.

Melalui slaid pembentangan yang ditunjukkan kepada pihak media, SKMM memperlihatkan peningkatan daripada angka asas apabila program JENDELA dimulakan sehinggalah 31 Mac 2020.

Sehingga 31 Mac 2020, sebanyak 5.707 juta premis telah disambungkan ke rangkaian gentian fiber dan 93.5 peratus daripada kawasan-kawasan di seluruh Malaysia hadir dengan sokongan untuk rangkaian 4G dengan purata kelajuan rangkaian 25.44Mbps, yang memperlihatkan sedikit penurunan berbanding dengan suku sebelum ini.

Pada suku terbaru ini, semua syarikat-syarikat telekomunikasi yang bertanggungjawab dalam membangunkan dan menambahbaik pencawang-pencawang 4G mereka semuanya telah mencapai misi mereka untuk suku ini, dengan syarikat-syarikat telekomunikasi utama seperti Digi, Celcom, Maxis dan U Mobile semuanya berjaya memenuhi kuota penambahbaikan dan pembangunan pencawang mereka.

Syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan juga dilihat menambahkan sokongan rangkaian mudah-alih di kawasan-kawasan luar bandar yang memerlukannya. Menurut SKMM, beberapa kawasan ini sudahpun menerima penambahbaikan rangkaian ini, dan ada diantaranya yang akan siap pembangunan infrastruktur baru dalam masa beberapa minggu ataupun bulan akan datang.

Peningkatan Aduan

Akan tetapi, hanya kerana syarikat-syarikat ini menambahbaik liputan rangkaian secara berkala, SKMM juga melaporkan bahawa jumlah aduan mengenai kualiti rangkaian mudah-alih daripada pengguna memperlihatkan peningkatan mendadak pada suku pertama 2021.

Suku pertama 2021 memperlihatkan jumlah aduan yang meningkat dengan kadar yang agak mendadak apabila dibandingkan dengan suku sebelum ini. Menurut Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, Pengerusi SKMM, ini adalah kerana Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang rata-rata memaksa orang ramai sekali lagi untuk memulakan proses pekerjaan dan pembelajaran dari rumah.

Walaupun dengan penambahbaikan rangkaian 4G yang sedang dilakukan, infrastruktur sedia-ada nampaknya masih tidak mencukupi untuk menampung jumlah pengguna yang ramai pada satu-satu masa. Purata kelajuan yang dilihat masih sangat rendah juga menyukarkan rakyat Malaysia untuk memanfaatkan perkhidmatan internet mudah-alih walaupun di kawasan bandar sekiranya mereka tidak melanggani perkhidmatan internet jalur-lebar ataupun gentian optik di rumah.

SKMM turut memperlihatkan pecahan aduan berdasarkan kawasan, dan ia dapat dilihat bahawa tiga bandar dengan jumlah aduan tertinggi ialah Johor Bahru, Petaling dan juga Kuala Lumpur. Ini memperlihatkan sedikit-sebanyak bagaimana peralihan lokasi tugasan dari kawasan perindustrian dan korporat ke kawasan perumahan masih belum di tahap memuaskan, ataupun bukanlah sesuatu yang baik untuk produktiviti jangka-masa panjang.

Kos Pembangunan Rangkaian

Diantara aspek yang tidak banyak dibincangkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi mahupun pihak SKMM ialah mengenai kos yang diperlukan untuk membangunkan pencawang-pencawang 4G ini di lokasi-lokasi tertentu di Malaysia.

Dr. Fadhlullah menerangkan bahawa kos untuk membangunkan menara-menara ini, termasuklah untuk logistik dan sebagainya adalah tidak begitu berbeza tidak kira lokasi, walaupun untuk kawasan-kawasan seperti Sabah dan Sarawak.

Isu yang dihadapi oleh syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan adalah dari segi pembayaran permit yang diperlukan untuk melakukan kerja-kerja pembangunan kali pertama dan juga penambahbaikan untuk saban tahun bagi memastikan pencawang-pencawang ini beroperasi pada tahap optimum.

Sebagai contoh, kerajaan tempatan Sarawak dan Johor dilaporkan diantara negeri-negeri yang akan meminta pembayaran permit tertinggi untuk membangunkan dan menyelenggara pencawang-pencawang ini setiap tahun.

Nilai permit-permit ini berbeza bergantung kepada lokasi daerah didalam sebuah negeri, tetapi berdasarkan jadual yang diperlihatkan, kos pembayaran permit untuk pembangunan sebuah pencawang 4G baru di sebuah lokasi di Sarawak boleh jadi setinggi RM37,600 dengan kos permit penyelenggaraan setiap tahun yang berbeza.

Johor dilaporkan negeri dengan kos permit pembangunan dan penyelenggaraan tertinggi di Malaysia sepanjang enam tahun, dimana jika dicongakkan kos permit pembangunan baru dan pelenggaraan termahal mereka sepanjang enam tahun, jumlah yang perlu dibayar oleh sebuah syarikat teknologi sepanjang enam tahun secara teorinya boleh menjadi setinggi RM116,750 untuk sebuah pencawang sahaja.

Kos pembangunan dan penyelenggaraan menara diatas ialah untuk pencawang yang dibina di tanah lapang. Terdapat juga permit yang diperlukan untuk membangunkan dan menyelenggara pencawang di atas bumbung bangunan, dan ini khususnya untuk kawasan-kawasan bandar yang padat dengan bangunan-bangunan tinggi.

Untuk pencawang-pencawang diatas bangunan ini, Sarawak sekali lagi mencatatkan kos permit pembangunan kali pertama tertinggi pada RM12,500, tetapi ia juga satu-satunya negeri yang dilihat tidak mengenakan pembayaran untuk penyelenggaraan pencawang ini untuk lima tahun pertama.

Melaka secara teorinya adalah negeri yang mencatatkan kos permit tertinggi membangunkan dan menyelenggara pencawang 4G tertinggi sepanjang enam tahun pada kos RM39,500 untuk sebuah pencawang. Perlu diketahui juga bahawa kos permit untuk setiap pencawang ini tidaklah tetap, dan boleh berubah bergantung kepada belas ehsan pihak kerajaan tempatan, sehinggalah tahap majlis perbandaran.

Tetapi ia boleh dilihat bahawa kerenah birokrasi kadang-kala boleh memperlahankan proses pembangunan, penyelenggaraan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan.

Selamat Tinggal, 3G

Salah satu tugas utama program JENDELA ialah untuk memastikan proses penamatan 3G, ataupun “3G sunsetting” dilakukan secara lancar. Diumumkan sejak Ogos 2020, pihak SKMM, bersama-sama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan bercadang untuk menutup rangkaian 3G ini supaya ia boleh digunakan untuk menambahbaikkan liputan dan kualiti rangkaian 4G Malaysia.

SKMM menjangkakan bahawa rangkaian 3G akan ditutup sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini, dan telahpun mengambil sejumlah langkah tertentu untuk memastikan orang ramai berpindah daripada peranti-peranti yang lebih baru.

Diantaranya ialah kerjasama dengan pihak SIRIM untuk memastikan peranti pintar yang dijual di Malaysia hanya menyokong rangkaian 2G, 4G, LTE dan keatas, dan proses pengesahan ini telahpun bermula sejak bulan Januari tahun ini.

Jika anda menanyakan mengapa rangkaian 2G masih lagi disokong, ini adalah kerana walaupun rangkaian VoLTE (Voice over LTE) mempunyai kualiti yang sangat baik dan membenarkan pengguna untuk menggunakan peranti dengan rangkaian internet mudah-alih dan menerima panggilan secara serentak, akan ada tiba masa apabila VoLTE ini tidak dapat berfungsi dengan sempurna, dan oleh itu, rangkaian 2G ini akan menjadi sandaran kepada sejumlah syarikat-syarikat telekomunikasi yang besar.

Kami mengajukan soalan kepada CEO Telekom Malaysia, Imri Mokhtar tentang bagaimanakah Unifi Mobile mengenai sandaran VoLTE mereka. Dengan penutupan rangkaian 3G, Unifi Mobile akan perlu bergantung kepada VoLTE sepenuhnya untuk panggilan-panggilan mereka.

Isunya disini ialah sekiranya VoLTE gagal berfungsi, pelanggan mereka akan harus menggunakan alternatif lain seperti WhatsApp ataupun Telegram untuk membuat panggilan audio.

Menurut Imri, TM sedar akan isu ini, dan sedang dalam perbincangan dalaman untuk memikirkan tentang cara untuk memastikan pelanggan mereka ada sandaran yang boleh digunakan sekiranya ada isu dengan sistem VoLTE mereka.

Setakat ini, SKMM melaporkan bahawa seramai 628,018 pelanggan 3G telahpun beralih sepenuhnya ke rangkaian 4G dan sebanyak 20,492 suis 3G di pelbagai pencawang rangkaian telahpun ditutup, dimana ia akan dinaiktaraf ke penggunaan radio 4G di masa akan datang.

Jumlah pemindahan ini lebih tinggi daripada kuota yang ditetapkan oleh SKMM, tetapi menurut CEO-CEO syarikat telekomunikasi tempatan, lebih ramai orang yang berpindah kepada peranti dan rangkaian yang lebih baru, lebih sukar untuk menurunkan jumlah lebihan pengguna rangkaian 3G ini kerana merekalah yang paling “degil” untuk beralih.

Tetapi setakat ini, kesemua pihak-pihak ini merasakan bahawa tarikh akhir penghujung tahun ini untuk menutup semua suis rangkaian 3G boleh dicapai tanpa begitu banyak masalah.

Penutup

Laporan JENDELA seterusnya dijangka akan hadir pada bulan Julai akan datang, dan selain daripada kemajuan dalam penambahbaikan rangkaian 4G, kami berharap bahawa SKMM akan membuat pengumuman mengenai rangkaian 5G yang dijangka akan diperkenalkan sekitar penghujung tahun ini.

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai laporan Jendela yang terbaru ini, anda boleh membaca mengenainya di sini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd