Walaupun jualan peranti mereka sendiri tidak begitu menyerlah, Sony amat bergantung kepada perniagaan sensor kamera telefon pintar mereka untuk menjana pendapatan. Terkini menurut laporan Strategy Analytics, Sony kekal sebagai pengeluar sensor kamera telefon pintar nombor satu dunia untuk tahun 2020.

Sony memegang 46% pasaran diikuti oleh Samsung (29%), Omnivision (10%) dan lain-lain (15%). Berbanding tahun 2019 pegangan Sony menyusut dari 50% dan Samsung mula mengorak langkah dari hanya 20%. Strategi Samsung yang lebih agresif memasarkan sensor ISOCELL mereka nyata berjaya. Malahan dua kamera yang digunakan Xperia 1 II dikeluarkan oleh Samsung.
Sepanjang 2020, pendapatan industri pengeluaran sensor kamera telefon pintar meningkat 13% berbanding 2019. Ini dipacu oleh pengunaan lebih banyak kamera pada telefon pintar walaupun dari kelas permulaan.