Perkhidmatan penstriman video kini berperang antara satu sama lain, apabila masing-masing ada fokus tersendiri. Setiap platform ada kandungan eksklusif, kandungan asli dan banyak lagi. Di Malaysia sahaja sudah ada banyak seperti Netflix, Prime Video, Apple TV+, Tubi, Mubi, Nurflix, iQiYi, dan banyak lagi. Dengan platform penstriman, sepatutnya ia boleh menjimatkan kos dari langganan TV satelit seperti Astro. Tetapi disebabkan tiada tawaran langganan dalam betuk berkas, apabila melanggan semua ia menjadi mahal. Maxis TV cuba lakukan perkara ini, tetapi penawarannya tidak begitu menarik.

Terkini, telah hadir satu lagi platform penstriman video baharu – Cultpix. Cultpix adalah platform penstriman video yang menawarkan kandungan seperti filem-filem klasik, kultus, dan juga siri TV. Menurut wakil Cultpix, tidak banyak platform penstriman menawarkan filem-filem klasik dan kultus yang digemari. Platform ini akan hadir dengan 400 kandungan terlebih dahulu. Tetapi pada penghujung tahun mereka janjikan ada dua kali ganda kandungan dari hari pelancaran. Antara kandungan yang akan hadir dalam platform ini adalah filem-filem pembunuhan ngeri yang seram dan seriau, filem raksasa Jepun, filem klasik Itali, filem seram Sepanyol dan banyak lagi dari sebelum tahun 1990.
Platform ini akan dilancarkan secara global, di mana tiada halangan lokasi seperti Prime Video atau Netflix. Sebaik sahaja dilancarkan pada minggu ini, semua orang boleh melanggannya. Harga langganan adalah $6.66 (sekitar RM27.52) sebulan, $59 (sekitar RM243.76) setahun pada Jun-September nanti. Manakala melalui jemputan, harga langganan setahun adalah $49 (sekitar RM202.44).