Hujung tahun lepas, Google mula menguji kemampuan penjadualan penghantaran SMS atau mesej (RCS) melalui aplikasi Google Messages. Dengan lebih banyak pengeluar peranti bergerak ke arah Android asli dan menggunakan banyak aplikasi Google berbanding aplikasi tersendiri – Google Messages mula dikemaskini dengan banyak ciri dan fungsi menarik. Jadi, menjadualkan mesej untuk dihantar mungkin akan memudahkan seseorang jika sibuk.
Terkini, Google Messages dilihat sudah boleh melakukan perkara ini dalam kemaskini terbaru. Buka sahaja aplikasi, cari kenalan yang anda ingin hantar mesej RCS atau SMS, taip mesej yang ingin dihantar dan tekan dan tahan pada butang hantar. Tetingkap akan muncul untuk anda pilih masa dan tarikh bila anda ingin hantar mesej tadi. Mesej yang dijadualkan akan ada tanda ikon jam, yang mana jika ikon ini ditekan ia boleh dipadam, terus hantar atau kemaskini jika ingin ubah teks.
Bukan itu sahaja, mesej yang dijadualkan juga ada label yang mana pengguna boleh sorokkan jika tidak ingin dipaparkan dalam antaramuka Google Messages. Fungsi ini dilihat hadir pada versi 7.7.050 yang saya gunakan melalui muat turun dari Play Store. Jadi jika ini fungsi yang anda inginkan, bolehlah cuba. Tetapi jika masih tidak boleh diakses, ia mungkin kemaskini dari bahagian pelayan.