Carian
Nokia X20 Dan Nokia X10 Kini Rasmi – Snapdragon 480, 5G Dan Sokongan 3 Versi Android
April 9, 2021 Effi Saharudin

Peranti dengan spesifikasi tertinggi dilancarkan Nokia semalam ialah Nokia X20 dan Nokia X10. Bagi mereka yang mendambakan peranti kelas mercu, anda pasti kecewa kerana siri X adalah peranti kelas pertengahan yang premium kerana dilengkapi cip Snapdragon 480 yang menyokong rangkaian 5G.

Nokia X20 ialah model paling premium dari dua peranti yang dilancarkan semalam. Skrin 6.67″ LCD FHD+, dijana cip Snapdragon 480, memori sehingga 8GB RAM, storan sehingga 128GB dan bateri sebesar 4470 mAh. Ia menyokong pengecasan 18W menerusi port USB-C yang tidak terlalu pantas kerana sekadar memuaskan.

Kamera utama pula sebesar 64MP sudut lebar, 5MP ultra sudut lebar, 2MP makro dan 2 MP kedalaman manakala kamera swafoto pula sebesar 32MP. Jika ingin dibezakan dengan siri G, lensa pada siri X masih lagi menggunakan lensa Zeiss.

Nokia X10 pula dilengkapi skrin 6.67″ LCD FHD+, dijana cip Snapdragon 480, memori sehingga 6GB RAM, storan sehingga 128GB dan bateri sebesar 4470 mAh. Ia menyokong pengecasan 18W menerusi port USB-C yang sama dengan X20.

Kamera utama pula sebesar 48MP sudut lebar, 5MP ultra sudut lebar, 2MP makro dan 2 MP kedalaman manakala kamera swafoto pula sebesar 8MP. Lensa Zeiss sekali lagi digunakan.

Kedua-dua peranti juga masih dilengkapi bicu audio 3.5mm, radio FM terbina, menyokong rangkaian 5G dan kemampuan kalis air IP52. Pengimbas cap jarinya pula terletak pada sisi terbina pada butang kuasa yang juga boleh digunakan untuk menyeru Google Assistant. Sistem operasi Android 11 digunakan dengan sokongan kemas kini versi Android sehingga 3 tahun dan tampalan sekuriti bulanan juga selama 3 tahun.

Harga jualan Nokia X20 bermula dari €350 (~RM1724) manakala Nokia X10 pula bermula dari €310 (~RM1527) sebuah.

Komen