Tidak dapat dinafikan, kemunculan teknologi pengecasan pantas dilihat sangat membantu dalam memudahkan orang ramai untuk mengecas bateri peranti dalam tempoh masa singkat. Kalau perasan, para pengeluar juga dilihat berlumba-lumba untuk menghasilkan teknologi pengecasan pantas yang lebih baik.
Misalnya, Oppo dan Realme sedia memperlihatkan penawaran teknologi pengecasan adipantas 125W sekitar tahun lalu. Melaluinya, ia dikatakan mampu mengecas peranti dengan kapasiti bateri 4,000mAh dicas sehingga 33% dalam masa 3 minit.
Terbaru, hadir desas-desus terkini yang mengatakan Oppo dan Realme mungkin memperkenalkan lebih banyak peranti pintar dengan pengecasan pantas 125W pada tahun ini. Bersama-sama dengannya, teknologi ini turut akan menyokng pelbagai protokol pengecasan pantas. Ini termasuklah – PPS 125W, PD 65W dan QX 36W.
Pada masa sama, ia dikatakan akan serasi dengan beberapa teknologi seperti VOOC, Dart, Warp, SuperVOOC, SuperVOOC 2.0 dan SuperDart. Buat masa ini, masih belum ada maklumat lanjut mengenai model manakah yang akan dilengkapi teknologi ini kelak. Sebelum ini, Realme pernah dilaporkan akan hadir dengan telefon pertama dengan pengecasan 125W. Dengan perkongsian ini, penantian untuk peranti dengan pengecasan seperti ini akan berakhir tidak lama lagi.