Seperti sedia maklum, Nokia baru sahaja memperkenalkan sehingga enam peranti pintar baharu, semalam. Ini termasuklah – Nokia X10, Nokia X20, Nokia G10, Nokia G20, Nokia C10 dan Nokia C20. Menariknya lagi, Nokia juga turut mengikut jejak langkah Samsung dan OnePlus untuk sokongan tiga versi sistem operasi Android pada peranti keluaran mereka.

Namun begitu, mereka dilihat lupa untuk mengemaskini peranti sedia ada mereka dengan sistem operasi baharu. Di mana, Nokia 4.2 telah mula menerima kemaskini untuk Android 11. Menurut Nokia, kemaskini ini ditawarkan secara serentak untuk semua pasaran termasuk Malaysia – kecuali beberapa pasaran yang tersenarai melalui pautan ini.
Difahamkan, 10% daripada pasaran terlibat akan diluluskan dengan serta-merta. Sementara itu, kemaskini 50% lagi akan dilaksanakan pada 10 April dan selebihnya pula pada 12 April hadapan. Seperti biasa, anda boleh membuat semakan untuk OTA Android 11 bermula hari ini.

Imbas kembali, Nokia 4.2 telah dilancarkan di Malaysia sekitar tahun 2019 dengan tanda harga RM599. Ia dilengkapi skrin 5.71-inci, dijana cip Snapdragon 439, memori 3GB RAM, storan dalaman 32GB dan bateri sebesar 3,000mAh. Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi dwi-kamera belakang 13MP + 2MP, kamera hadapan 8-megapixel dan pengimbas cap jari fizikal pada panel belakang peranti.