Prototaip Pertama KF-21 Boramae Diperlihatkan – Nama Rasmi Pesawat Projek KAI KF-X

Diterbitkan pada Apr 12, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Projek pembangunan pesawat tempur generasi-4.5 KAI KF-X kini semakin hampir kepada produksi selepas prototaip pertamanya diperlihatkan secara rasmi akhir minggu lalu. Di dalam majlis yang dihadiri oleh Presiden Moon Jae dan menteri pertahanan Indonesia Prabowo Subianto, pesawat juga telah diberikan nama rasmi baharu KAI KF-21 Boramae yang bermaksud helang dalam bahasa Korea.

Sebanyak empat pesawat prototaip satu empat duduk dan dua pesawat tempat duduk berkembar akan dihasilkan untuk melalukan pelbagai ujian dengan sasaran memulakan operasi seawal 2026. Kehadiran Prabowo mengesahkan komitmen ke atas projek dengan ura-ura sebelum ini mengatakan Indonesia ingin menarik diri dari projek atas sebab kewangan.

Pesawat tempur dwi-enjin ini dibangunkan secara kendiri oleh Korea Selatan bagi menggantikan pesawat Northrop F-5 Tiger dan McDonnell Douglas F-4 Phantom II Tentera Udara Republik Korea (ROKAF) yang sudah berusia. Apabila memulakan operasi kelak, ia akan beroperasi bersama F-35A, F-15K dan F-16D yang digunakan sekarang.

KF-21 Boramae masih mempunyai kemampuan sukar dikesan menggunakan radar tetapi tidak sebaik F-35A memandangkan kesemua senjata dibawa di luar tubuh pesawat. Walaupun projek dibiayai oleh Korea Selatan dan Indonesia, pesawat tempur ini akan dieksport ke negara yang berminat selari dengan sasaran Korea Selatan untuk menjadi negara ketujuh terbesar dalam industri penerbangan menjelang 2030. Malahan ketika pelancaran, bendera beberapa negara serantau termasuk Malaysia dipancarkan pada tubuh prototaip.

Pesawat boleh terbang sehingga kelajuan Mach 1.83, jarak operasi sehingga 2900 km dan muatan senjata sehingga 7700 kg. Dua varian akan dihasilkan dengan blok A mempunyai kemmapuan pertempuran udar dan blok B pula berkemampuan melakukan serangan ke atas sasaran darat.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami