Carian
Ultraman Tiga Adalah Duta OnePlus 9R Di China
April 12, 2021 Fahim Zahar

OnePlus 9R adalah peranti mercu mampu milik OnePlus dalam siri OnePlus 9, yang mana menggunakan rekaan OnePlus 9 Pro tetapi skrin rata dari OnePlus 9. Ia juga adalah sebuah lagi peranti yang dijana cip Snapdragon 870 yang cukup berkuasa. Dilengkapi dengan skrin 6.55 AMOLED FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz, turut dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM, storan sehingga 256GB dan bateri sebesar 4500 mAh. Seperti dua abang besarnya, 9R turut menyokong pengecasan pantas berwayar 65W tetapi tiada pengecasan berwayar.

OnePlus 9R terhad di pasaran India sahaja buat masa ini dan 15 April kelak, ia akan dilancarkan di China. Seperti siri OnePlus 8 yang mana OnePlus memilih pelakon Iron Man, Robert Downey Jr. sebagai duta – untuk OnePlus 9R “duta” pilihan mereka kali ini adalah Ultraman Tiga. OnePlus memilih Ultraman Tiga kerana ia dikenali oleh orang ramai tidak kira usia dan dengan latar belakang Ultraman yang merupakan makhluk berkuasa dari Land of Light – OnePlus ingin bawakan semangat makhluk planet “cahaya” ini kepada peranti OnePlus 9R yang didakwa berkuasa.

Seperti OnePlus 8T edisi Cyberpunk, OnePlus 6 edisi Avengers, OnePlus 5T Star Wars – OnePlus 9R dengan Ultraman Tiga ini mungkin akan bawakan pilihan tema, gambar latar atau mungkin juga pilihan nada dering menarik. Buat masa ini masih tidak pasti lagi. Butiran lanjut adalah pada Khamis ini sekitar 2 petang.

Dengan kamera yang sama dengan OnePlus 8T, tiada logo Hasselblad serta jualan lebih murah dari OnePlus 9 Pro dan OnePlus 9 – peranti ini mungki akan fokus pada prestasi sahaja. Di India, OnePlus pasarkan peranti ini sebagai peranti permua bajet. Harga jualan pula adalah sekitar RM2300 sahaja. Apakah pendapat anda tentang kerjasama dengan Ultraman ini?

Komen