Seperti sedia maklum, Realme GT Neo merupakan antara model terawal yang menggunakan cip MediaTek Dimensity 1200. Peranti pintar ini telah diperkenalkan pada penguhujung bulan Mac lalu dan dijual di China pada harga bermula RMB 1,799 (~RM1,137).

Dalam perkembangan terkini, timbul desas-desus baharu mengatakan terdapat sebuah lagi peranti dengan cip MediaTek Dimensity 1200 yang dijangka bakal diperkenalkan sekitar bulan ini. Biarpun belum ada kepastian, namun spekulasi awal mengatakan ia berkemungkinan besar adalah peranti gaming daripada Redmi.
Menguatkan lagi spekulasi itu apabila terdapat laporan yang mendakwa sebuah peranti Xiaomi dengan nombor model M2104K10C telah tertiris – yang berkemungkinan besar akan menjadi peranti Redmi dengan janaan cip MediaTek Dimensity 1200 ini.

Laporan berkenaan turut mengatakan peranti gaming Redmi kelak dipercayai hadir dengan kod nama Ares. Namun begitu, maklumat mengenainya didapati masih belum ditemui menerusi mana-mana pangkalan data di China. Jadi, lebih baik sekiranya kita menganggap maklumat dikongsi ini masih di peringkat ura-ura.
Dalam perkembangan berbeza, terdapat juga laporan yang mengatakan peranti gaming Redmi ini mungkin akan dipasarkan sebagai peranti mercu Poco di India. Turut dilaporkan, peranti berkenaan didakwa telah tersenarai di pangkalan data IMEI di India dengan nombor model M2104K10I.

Sekali lagi diingatkan, maklumat yang dikongsi ini masih di peringkat ura-ura dan belum diketahui kesahihannya. Namun, dengan ketirisan ini kita boleh menyasarkan lebih banyak maklumat berkaitan peranti akan dikongsikan dalam masa terdekat ini