Cari @ Amanz

Dengan kereta semakin pintar keperluan cip pemproses yang semakin berkuasa bergerak selari dengan yang berlaku pada komputer, tablet dan telefon pintar. Di GTC pagi tadi cip NVIDIA DRIVE Atlan telah diumumkan untuk kegunaan kereta pintar swapandu bermula 2025.

NVIDIA DRIVE Atlan mampu menawarkan kemampuan memproses 1000 trilion operasi sesaat (TOPS). Sebagai perbandingan cip Snapdragon 888 pada telefon mempunyai kemampuan memproses 26 TOPS sahaja manakala cip DRIVE Orin mereka dari tahun 2019 menawarkan 254 TOPS. Atlan akan dilengkapi CPU ARM terkini NVIDIA dan dipadankan pula dengan cip GPU terkini dari keluarga Ampere.

Turut disertakan dalam cip Atlan ialah teknologi NVIDIA BlueField yang digunakan pada pusat-pusat data. Menerusi BlueField keselamatan data sistem swapandu kenderaan diperkukuhkan dari serangan penggodam dan serangan siber.

Spesifikasi cip Atlan diumumkan awal bagi membolehkan pengeluar kenderaan merancang menghasilkan kenderaan generasi hadapan dengan pelbagai sensor dan kemampuan swapandu yang diperlukan kelak. Cip DRIVE Orin yang diumumkan dua tahun lalu hanya akan digunakan pada Volvo XC90 2022 misalnya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd