Cari @ Amanz

Dalam fiksyen sains pelbagai jenis sistem tujahan eksotik digunakan bagi membolehkan manusia mengembara angkasa lepas. Sistem paling popular ialah enjin warp Star Wars dan enjin hiperangkasa Star Wars. Kesemua masih lagi tidak mampu dihasilkan kerana kekangan teknologi. Yang sedang dibangunkan ialah roket berkuasa nuklear untuk mengurangkan masa perjalanan di antara bumi dan Marikh.

Konsep enjin pendorong termal nuklear (NTP) menggunakan bahan api High-Assay Low Enriched Uranium (HALEU) telah diserahkan kepada NASA tahun lalu. Kini DARPA telah menganugerahkan kontrak kepada Blue Origin, General Atomics, dan Lockheed Martin untuk menghasilkan konsep kapal angkasa dengan enjin NTP pula. Program yang diberi nama Demonstration Rocket for Agile Cislunar Operations (DRACO) ini menyasarkan sebuah kapal angkasa berkuasa nuklear diuji di orbit bumi rendah seawal 2025.

Enjin Roket Nuklear HALEU
Enjin HALEU berkuasa nuklear

Blue Origin dan Lockheed Martin diberikan tugas menghasilkan konsep kapal angkasa manakala General Atomics ditugaskan membangunkan reaktor nuklear untuk sistem pendorong termal nuklear (NTP). Enjin nuklear adalah lebih efisien berbanding enjin elektrik dan menawarkan daya dorongan yang lebih tinggi berbanding enjin roket kimia.

Bahan api yang dibawa dibakar oleh haba dari reaktor nuklear menawarkan impuls spesifik dua kali ganda lebih baik berbanding sistem roket kimia. Impuls spesifik ialah ukuran yang digunakan untuk mengira tahap kecekapan sesebuah enjin roket. Misi ke Marikh boleh dipendekkan ke tiga bulan dengan enjin NTP berbanding tujuh bulan menggunakan enjin roket kimia.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd