Fast Pair diperkenalkan pada sistem operasi Android untuk memudahkan proses menambat aksesori bluetooth seperti fon kepala, fon telinga dan peranti boleh pakai. Selepas empat tahun, Fast Pair kini diberikan antaramuka baharu serta sokongan lebih 100 peranti bluetooth.
Antaramuka baharu yang lebih besar akan dipaparkan pada bahagian bawah skrin sama seperti sistem paparan yang digunakan iOS, Samsung, Huawei dan banyak lagi pengeluar lain. Pengguna hanya menekan butang biru pada skrin untuk menambat aksesori kepada peranti. Sebelum ini Fast Pair hanya menunjukkan paparan kecil di bahagian atas skrin yang terlalu kecil sehingga kadang kala tidak sempat untuk ditekan sudah menghilang.
Sokongan sehingga 100+ peranti bluetooth turut hadir dengan gambar sebenar peranti pada skrin yang lebih besar. Antara pengeluar yang disokong ialah JBL Audio dan Sony. Dengan adanya paparan nama dan gambar sebenar aksesori yang ingin ditambat, tiada lagi kekeliruan akan berlaku.