Cari @ Amanz

Produk Apple adalah antara produk yang paling kerap diklonkan di China. Tidak kiralah klon dari jenama besar atau jenama biasa sahaja. Daripada iPhone, AirPods, MacBook, kabel, pengecas dan banyak lagi. Malah AirPods 3 yang belum dilancarkan lagi pun sudah ada klon. Produk klon ini hadir kerana dijual pada harga berkali ganda lebih murah dari yang asli. Ini membolehkan mereka yang ingin cuba barangan seakan Apple tetapi tidak mampu memilikinya. Atau penjual mengambil kesempatan dan menipu Si Pembeli.

Terkini AirPods Max pula telah diklonkan di China. Lebih mengejutkan daripada harga jualan RM2399, AirPods Max klon ini dijual pada harga bermula RMB 65 – iaitu sekitar RM40 sahaja. Set fon kepala ini diberi nama P9 dan mempunyai beberapa pilihan warna seperti yang asli. Sumber dilihat memiliki warna kelabu dan biru yang mana warna biru jelas dilihat sudah tahu ianya adalah tiruan. Binaan pula adalah plastik dengan kemasan yang cuba mimik AirPods Max sebenar.

Pad telinga juga tidak boleh ditanggalkan dan bukan jenis fabrik kait, begitu juga pada bahagian atas kepala yang menggunakan pad kusyen biasa sahaja. Butang kawalan pula amat aneh dengan pelbagai kemampuan kawalan media, tiada Digital Crown di sini. Spesifikasi pula dikatakan menggunakan pemacu audio 50mm HiFi jenis dinamik, menyokong codec SBC dan juga AAC. Tetapi faham-faham sahajalah, jika sekadar tertera pada kotak tidak semestinya barang tiruan itu benar-benar menyokongnya.

Dengan jualan AirPods Max di Malaysia agak terhad dan penghantaran mencapai dua minggu. Pastikan jika anda membeli AirPods Max dari penjual-penjual bukan rasmi, produk itu asli. Jangan pula anda bayar lebih RM2K tetapi menerima barang tiruan yang hanya RM40.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd