Cari @ Amanz

AirPods 3 Klon Sudah Boleh Dibeli Di China

Link Copied!

AirPods generasi pertama dan kedua menggunakan rekaan yang lebih kurang sama, iaitu masih menggunakan rekaan jenis Earpods seperti set fon telinga berwayar yang Apple pernah sediakan di dalam kotak. Bermula dengan AirPods Pro, Apple mula menggunakan rekaan fon dalam telinga dan turut menyertakan sokongan pembatalan hingar aktif. Tahun ini, AirPods generasi ketiga akan dilancarkan di mana akan menggunakan rekaan AirPods Pro tetapi tanpa sokongan ANC.

Apple mungkin akan melancarkan beberapa produk baharu pada penghujung Mac ini. Seperti biasa, syarikat di China dan klon barangan Apple berpisah tiada. AirPods 3 klon kini sudah boleh dibeli di China. Seperti yang tertiris sebelum ini, walaupun ia menggunakan rekaan jenis dalam telinga, ia tidak mempunyai putik telinga silikon dan masih jenis Earpod dengan bentuk AirPods Pro. Rekaan pod pengecas mirip dengan versi Pro, tetapi lebih kecil.

Menurut Gizmochina, klon AirPods 3 ini selesa digunakan, ringan dan mempunyai pengalaman penggunaan seperti versi Pro. Sensor ambien dan infra merah juga mungkin terbina, dan posisi sensor ini mirip AirPods Pro. Biasanya versi klon sudah tiba bermakna produk sebenar sudah pun tersedia. Adakah ini rekaan akhir? Jika benar berapakah harganya dan apakah fungsi unik yang bakal Apple bawakan? Sama-sama kita nantikan.


Komen ()