Cari @ Amanz

Januari lalu TCL telah memperkenalkan siri telefon pintar mereka untuk tahun ini, iaitu siri TCL 20. Bermula dengan TCL 20 5G dan TCL 20 SE, kini mereka melengkapkan siri peranti ini dengan mengumumkan tiga lagi peranti. Kesemua peranti ini adalah peranti kelas pertengahan yang dijana dengan cip Snapdragon 750G dan juga Snapdragon 662.

TCL 20 Pro 5G

Peranti ini adalah pengganti kepada TCL 10 Pro, ia hadir dengan skrin 6.67-inci AMOLED melengkung, resolusi FHD+, 60Hz, cip pemprosesan paparan Pixelwork i6 dan sokongan paparan HDR10+. Cip pemprosesan adalah Snapdragon 750G untuk sokongan 5G dan prestasi lebih hebat dan dipadankan dengan 6GB RAM serta 256GB storan dalaman. Kamera pula adalah 48MP daripada Sony IMX582 sebagai sensor utama + 16MP sudut ultra lebar + 5MP makro + 2MP sensor kedalaman. Kamera swafoto pula adalah 32MP. Bateri peranti adalah 4500mAh dengan sokongan pengecasan pantas berwayar 18W dan 15W nirwayar. Untuk sekuriti pengimbas cap jari sedia terbina di bawah skrin. Sistem operasi adalah TCL UI berasaskan Android 11.

Harga jualan peranti ini adalah €549, iaitu sekitar RM2715.

TCL 20L & TCL 20L+

Kedua-dua peranti ini pula adalah lebih kurang sama dengan penawaran yang lebih mampu milik. Kedua-dua peranti menggunakan skrin 6.67-inci LCD beresolusi FHD+ dan dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 662. Kedua-dua peranti turut mempunyai kapasiti bateri 5000mAh dengan sokongan pengecasan 18W. Selain itu butang fizikal menyeru Google Assistant turut terbina bersama-sama dengan mengekalkan port bicu audio 3.5mm. Untuk sekuriti pula pengimbas cap jari fizikal di sisi peranti disertakan.

Membezakan dua peranti ini adalah sensor kamera utama, memori dan pilihan warna. TCL 20L hadir dengan memori 4/128 GB eMMC atau 6/128 GB UFS, manakala TCL 20L+ hanya hadir dengan 6/256 GB UFS. TCL 20L dan TCL 20L+ menggunakan sistem kuad-kamera dengan lensa 8+2+2 Megapixel ultra lebar, makro dan sensor kedalaman yang sama tetapi TCL 20L menggunakan sensor 48MP untuk utama dan TCL 20L+ pula 64MP. Kamera swafoto kedua-duanya adalah 16MP tetapi satu dengan fokus tetap satu lagi auto-fokus. Sistem operasi adalah TCL UI berasaskan Android 11.

TCL hanya menawarkan satu kemaskini sistem operasi, bermakna kemaskini terakhir adalah Android 12. Harga jualann adalah bermula €229 (~RM1132) untul TCL 20L dan €269 (~RM1330) untuk TCL 20L+.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd