Cari @ Amanz

Minggu lalu tujuh lagi entiti yang berkait rapat dengan pembangunan adikomputer di China telah dimasukkan ke dalam senarai entiti oleh Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat. Tianjin Phytium Information Technology, Shanghai High-Performance Integrated Circuit Design Center, Sunway Microelectronics, National Supercomputing Center Jinan, National Supercomputing Center Shenzhen, National Supercomputing Center Wuxi, dan National Supercomputing Center Zhengzhou mengikuti langkah lima syarikat yang dimasukkan ke dalam senarai entiti pada tahun 2019.

Larangan pembelian komponen dilalukan atas sebab Amerika Syarikat percaya mereka terlibat menggunakan adikomputer untuk melakukan kajian bagi pihak tentera Republik Rakyat China serta pembangunan senjata pemusnah. National Supercomputing Center Wuxi adalah yang mungkin paling dikenali kerana menempatkan adikomputer TaihuLight yang pernah memegang takhta sebagai adikomputer terpantas dunia pada tahun 2016 tetapi kini di tangga ke empat.

China pada waktu ini ialah negara dengan jumlah adikomputer terbesar dunia – hampir dua kali ganda lebih banyak berbanding Amerika Syarikat. Teknologi menghasilkan cip 7nm walau bagaimanapun dipegang oleh Amerika Syarikat dan halangan yang dikenakan merencatkan aspirasi China untuk menjadi kuasa besar teknologi.

TSMC syarikat dari Taiwan telahpun mengesahkan mereka tidak lagi menawarkan cip kepada Tianjin Phytium minggu ini bagi mengikuti arahan Amerika Syarikat. Langkah yang pasti menimbulkan kemarahan Beijing yang melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada China dan tidak mengiktirafnya sebagai negara bebas.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd