Tahun lalu Realme Smart TV telah dilancarkan dengan penawaran dua saiz 43″ dan 32″ di Malaysia. Ia adalah televisyen kelas permulaan yang masih menyokong resolusi FHD sahaja dengan kualiti imej yang tidak menambat hati peminat peralatan AV kelas tinggi. Isu ini mungkin akan diselesaikan dengan pelancaran Realme Smart TV terbaru pada Mei ini.
Ketua pegawai eksekutif Realme, Madhav Sheth sendiri mengesahkan pelancaran televisyen pintar ini dalam bentuk jawapan dalam sebuah ciapan kepada soalan yang diterima beliau. Kali ini skrin yang lebih besar sekitar 50″ akan dilancarkan Realme. Dengan skrin yang besar ini adalah tidak masuk akal untuk mengekalkan panel FHD dan kita hanya boleh berharap skrin 4K digunakan pula kali ini.
Di Amanz kami merasakan Realme Smart TV adalah produk yang menarik bagi mereka yang mencari sebuah televisyen Android TV buat kali pertama ataupun kegunaan sekunder.