Sebuah Lagi Peranti Vivo Dengan Cip Snapdragon 720G Tertiris

Diterbitkan pada Apr 18, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Seperti sedia maklum, Vivo kini dalam persediaan untuk pengenalan peranti baharu di bawah siri-V yang terdiri dengan Vivo V21 dan Vivo V21e. Peranti-peranti ini merupakan kesinambungan daripada siri Vivo V20 yang dilancarkan sebelum ini dan turut memfokuskan kepada keupayaan kamera lebih baik.

Namun kini, timbul pula desas-desus baharu yang mengatakan terdapat sebuah lagi peranti Vivo dengan cip Snapdragon 720G ditemui menerusi Google Play Console . Biarpun belum ada kepastian tetapi spekulasi awal mendakwa peranti yang muncul dengan nombor model V2061 itu adalah Vivo V21 SE.

Penyenaraian memperlihatakn ia akan dijana dengan cip Qualcomm SM7125 yang dikatakan berkait rapat dengan pemproses Snapdragon 720G. Bersama-sama dengannya, peranti ini juga akan dilengkapi paparan dengan resolusi 1080 x 2400 piksel bersama kepadatan piksel 440ppi.

Tidak ketinggalan, melihat kepada imej yang disertakan – ia juga dipercayai dilengkapi paparan hadapan jenis bertakuk kecil. Buat masa ini, Vivo belum berkongsi lanjut mengenai model yang dikatakan ini. Jadi, lebih baik sekiranya kita menganggap maklumat dikongsi masih di peringkat ura-ura.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami