Penggunaan tablet di sekolah bagi menggantikan buku fizikal telahpun berlaku di negara-negara maju. Malahan semasa tempoh PDPR awal tahun ini, banyak sekolah mula menawarkan buku teks serta kerja sekolah secara digital di negara kita. Tetapi penggunaannya dalam dunia ketenteraan masih lagi terhad kerana keperluan sistem penyulitan dan standard ketahanan yang lebih tinggi perlu dilepasi terlebih dahulu.
Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) telah memulakan langkah awal untuk memperkenalkan penggunaan tablet dalam kokpit pesawat pejuang Lockheed Martin F-35. Di bawah Projek Fighter Optimization eXperiment (FoX), tablet digunakan untuk memaparkan maklumat tambahan yang tidak boleh dipaparkan pada skrin utama pesawat. USAF membayangkan tablet berhubung secara masa nyata dengan sensor pesawat. Maklumat mengenai sistem pertahanan di ruang udara musuh dan peta 3D boleh dipaparkan pada tablet Projek FoX.
Walaupun F-35 ialah pesawat pejuang terbaru dalam inventori USAF, teknologi paparan dalam kokpit yang digunakan sekarang sudah berusia dan didapati sukar untuk dikemaskini dengan pantas. Tablet dengan aplikasi yang lebih pantas dikemaskini akan mengurangkan kesukaran mengemaskini sistem dalam pesawat. Mempunyai lebih banyak skrin juga membolehkan lebih banyak maklumat dipaparkan serentak untuk tontonan juruterbang.
Ia turut mendengar maklum balas juruterbang yang mengatakan skrin sesentuh yang digunakan sekarang tidak mempunyai tindak balas haptik menyukarkan proses menukar tetapan berbanding tombol fizikal pada kokpit pesawat generasi terdahulu.
Selain Project FoX, sistem FoX BoX juga dibangunkan secara serentak. Ia sebuah sistem dengan kemampuan sekuriti siber yang dilengkapi cip dengan keselamatan sekuriti siber bagi melakukan pemprosesan kecerdasan buatan ketika melakukan misi. FoX BoX membolehkan tablet Projek FoX sekadar digunakan untuk visual tanpa perlu melakukan pemprosesan secara aktif.
Pada waktu ini ujian berjaya dilakukan dalam sebuah F-35 yang tidak melakukan penerbangan. Ujian dalam kokpit ketika dalam penerbangan akan dilakukan tahun ini. Sistem ini juga akan diuji pada pesawat F-16, F-18 dan F-22 bagi membuktikan ia benar-benar versatil.