Aplikasi perbualan Clubhouse memperlihatkan populariti yang menggunung pada bulan Februari apabila sejumlah besar nama-nama besar dalam teknologi, termasuklah selebriti menggunakannya untuk cara berbual dengan orang ramai.
Menurut Sensor Tower, syarikat statistik yang cukup terkenal melaporkan bahawa pada bulan Februari 2021, aplikasi tersebut telah dimuat-turun sebanyak 9.7 juta kali, walaupun aplikasi tersebut hanya boleh digunakan pada peranti iOS dan memerlukan jemputan daripada pengguna sedia ada untuk menggunakannya.
Akan tetapi, oleh kerana kelewatan aplikasi tersebut untuk membuka perkhidmatan mereka kepada pengguna lebih ramai, populariti aplikasi tersebut nampaknya merudum dengan cepat. Sensor Tower turut melaporkan bahawa pada bulan Mac 2021, muat-turun aplikasi tersebut jatuh sehingga 2.7 juta muat-turun sahaja, walaupun seperti sedia maklum, jumlah pengguna iPhone di dunia cukup ramai sekali.
Walaupun Clubhouse dilihat mencuba pelbagai cara untuk meningkatkan dan mengekalkan momentum perkembangan pengguna mereka, termasuklah penerimaan dana sebanyak $4 bilion, kehadiran eksklusif di platform iOS nampaknya membantutkan proses tersebut.
Aplikasi untuk platform Android tidak dijangka tiba untuk beberapa bulan lagi, dan jika penungguan tersebut masih berlarutan, ia dijangka bahawa Clubhouse akan sangat sukar untuk menambahkan jumlah penggunanya, walaupun terdapat nama-nama popular seperti Elon Musk, Bill Gates dan Tun Dr. Mahathir menggunakannya.