Cari @ Amanz

Semalam Ingenuity menjadi pesawat pertama binaan manusia yang melakukan penerbangan berkuasa di luar atmosfera bumi. Ia terbang setinggi 3 meter dari permukaan Marikh sebagai ujian sebelum melakukan penerokaan yang lebih meluas. Yang menarik mengenai helikopter Marikh ini ialah ia menggunakan cip yang sudah berusia lapan tahun sebagai otak untuk mengawal pelbagai sistem pesawat.

Cip tersebut ialah Snapdragon 801 yang dilancarkan pada Januari 2013. Ia adalah cip yang sama digunakan pada Blackberry Passport, OnePlus X, Samsung Galaxy S5, HTC One M8 dan banyak lagi. Walaupun sudah berusia lapan tahun dan dilengkapi hanya empat teras, Snapdragon 801 adalah jauh lebih berkuasa berbanding cip PowerPC750 1 teras 233 Mhz dari sebuah Apple iMac G3 1998 yang digunakan pada perayau Perseverance yang menjadi kapal induk kepada Ingenuity.

Menurut jurutera NASA, kemampuan memproses yang lebih tinggi diperlukan bukan sahaja untuk melakukan perkiraan kompleks sistem swaterbang tetapi juga untuk menstabilkan imej yang dirakam menggunakan kamera. NASA tidak menggunakan cip yang paling terkini atas sebab perlu memastikan ia tidak mendatangkan masalah untuk beroperasi untuk tempoh yang lama tanpa campur tangan manusia.

Sumber IEESpectrum menerusi 9to5Google

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd