iPhone Kini Boleh Digunakan Untuk Mengkalibrasi Warna Apple TV 4K

Diterbitkan pada Apr 21, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Apple mengemaskini Apple TV 4K mereka dengan cip Apple A12 bagi membolehkan kandungan 4K pada kadar segar semula tinggi dan HDR. Dengan sokongan warna Dolby Vision, antara isu terbesar di kalangan pemilik televisyen pintar ialah melakukan kalibrasi bagi memastikan visual yang terpapar selari dengan visi asal pengarah.

Secara lazimnya alat khas kalibrasi skrin diperlukan tetapi di acara Spring Loaded pagi tadi, Apple memperkenalkan Color Balance yang membolehkan sebuah iPhone boleh digunakan bagi melakukan perkara yang sama. Semasa proses tetapan Apple TV 4K baharu, pengguna hanya perlu meletakkan sebuah iPhone pada skrin TV yang disambung kepada Apple TV 4K. Sensor cahaya pada kamera hadapan iPhone kemudiannya digunakan untuk mengukur keterangan dan ketepatan warna pada skrin.

Selepas proses kalibrasi selesai, data dihantar ke Apple TV 4K dan sekaligus mengubah tetapan bagi memberikan visual yang paling tepat. Sebagai pemilik beberapa monitor 4K dan iPhone, ini ialah ciri menarik yang tidak memerlukan kami membeli alat kalibrasi profesional secara berasingan. Buat masa ini Color Balance hanya boleh digunakan pada iPhone dengan Face ID dan menggunakan iOS 14.5.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami