Cari @ Amanz

Semasa pelancaran Xiaomi Mi 11 versi global tempoh hari, Xiaomi turut melancarkan televisyen pintar terkini mereka iaitu Xiaomi Mi TV Q1. Ini ialah kemuncak teknologi televisyen yang ditawarkan oleh Xiaomi kerana ia dilengkapi skrin 75″ berteknologi QLED, 120Hz, dan sokongan resolusi 4K. Ia juga adalah Android TV yang berasaskan Android 10, yang mana antara yang terkini. Tetapi, ia masih lagi bukan sistem Google TV yang lebih baharu.

Televisyen ini dijana MediaTek MT9611, menyokong dua format HDR iaitu Dolby Vision dan HDR10+, dilengkapi sistem audio 30W yang menyokong pula audio Dolby Audio and DTS-HD dan untuk input pula 1x HDMI 2.1 + 2x HDMI 2.0 + LAN + AV + output optikal + dekoder DTTV dan USB. Harga di Eropah adalah sekitar RM6364. Terkini, televisyen pintar ini telah tersenarai di laman SIRIM. Secara tidak langsung menjadikan ini adalah televisyen pintar Xiaomi pertama menembusi pasaran Malaysia secara rasmi.

Untuk harga di Malaysia, Xiaomi masih tidak mendedahkannya lagi. Sebelum ini, televisyen ini tidak dijual mungkin kerana pesaing yang banyak dan juga ada kedengaran banyak pengiktirafan dan pelesenan perlu dilalui. Dengan Realme yang merupakan pesaing Xiaomi sudah menjual TV di sini, tidak terkejut untuk Xiaomi akhirnya membawa masuk televisyen mereka.

Tetapi televisyen ini dilihat adalah variasi premium dan Xiaomi memang cukup terkenal dengan televisyen spesifikasi tinggi yang dijual pada harga mampu milik. Sama-sama kita nantikan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd