Cari @ Amanz

Bulan Januari lalu, Samsung mengumumkan inisiatif Galaxy Upcycling baharu untuk mengubah peranti lama mereka menjadi peranti berhubung. Ia merupakan strategi Samsung untuk lebih mesra terhadap alam sekitar, seperti mengubah kotak televisyen kepada barangan lain yang berguna.

Terkini menurut SamMobile, kemaskini aplikasi SmartThings hadir dengan ciri baharu – SmartThings Labs. Dari dalam aplikasi sahaja, peranti Samsung yang sudah tidak digunakan boleh berubah menjadi paparan pintar, hab kawalan peranti-peranti ekosistem SmartThings, pemantau bayi, dan banyak lagi. Kemaskini ini membawakan perisian dengan sistem kecerdasan buatan yang boleh mengembangkan lagi penggunaan sensor-sensor yang terbina dalam peranti.

Pertama adalah Sound Sensor, yang menggunakan mikrofon dan AI untuk mengenalpasti jenis bunyi seperti bayi menangis, kucing mengiau, anjing menyalak atau juga mungkin air yang melimpah. Sama seperti kemampuan yang ada dalam iOS untuk pengguna kurang upaya. Kemudian adalah sensor cahaya atau Light Sensor yang mana adalah sensor ambien untuk mengenalpasti kecerahan di suasana bilik atau rumah. Melaluinya, ia boleh dipadankan dengan lampu pintar yang mana jika terang boleh matikan lampu dan jika gelap boleh hidupkan lampu secara automatik.

Disebabkan semua sensor ini perlu sentiasa aktif, peranti akan menggunakan kuasa yang banyak dan akan menjadikan jangka hayat bateri lebih lemah. Oleh itu, kemaskini perisian turut menjadikan peranti mempunyai mod jimat bateri. Samsung turut menyatakan, ia boleh mengawal semua peranti pintar dalam ekosistem SmartThings – secara tidak langsung mengubah peranti lama kepada pesaing seperti Amazon Echo Show atau Google Nest Hub.

Buat masa ini, kemaskini ini hanya diedarkan kepada pengguna di United Kingdom, Korea Selatan dan juga Amerika Syarikat. Ia juga terhad kepada peranti Galaxy S, Galaxy Note dan Galaxy Z yang dilancarkan pada tahun 2018 ke atas dengan Android 9. Hanya di masa hadapan kelak, inisiatif ini akan dikembangkan ke peranti lain dan mungkin juga akan tiba ke negara lain.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd