Google Mengeluarkan Kenyataan Mengenai Isu WebView Dan Rancangan Masa Hadapan Untuk Elak Isu Sama Berlaku

Diterbitkan pada Apr 22, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Bulan lepas, banyak peranti Android mengalami masalah sistem tergendala seperti aplikasi yang berhenti berfungsi secara tiba-tiba. Di Malaysia, MySejahtera turut terjejas. Walaupun aplikasi WebView sudah dikemaskini, beberapa pengguna menggunakan kaedah sementara yang tidak digalakkan Google – iaitu membuang terus WebView dan/atau menggunakan versi lama. Kaedah ini menurut Google boleh membuatkan data aplikasi hilang.

Google baru-baru ini mengeluarkan kenyataan mengenai hal ini dan bagaimana mereka merancang untuk elak isu sama berlaku. Melalui kenyataan ini, Google sedar akan isu ini berlaku dan menggalakkan pengguna mengemaskini ke versi baru melalui Play Store atau pemasangan APK secara manual. Bagi peranti yang tidak boleh memasang WebView, ada yang hanya perlu kemaskini aplikasi Chrome sahaja. Jika pemasangan manual tidak berjaya, langkah akhir menurut Google adalah membuang data dan cache aplikasi dari tetapan sistem dan cuba pasang sekali lagi.

Sementara itu, untuk mengelak isu ini berlaku sekali lagi – Google akan mengaudit setiap versi WebView dikeluarkan dan memastikan ia benar-benar stabil sebelum diedarkan. Sistem Safe Mode turut akan diintegrasikan untuk WebView secara automatik turun taraf ke versi lama yang lebih stabil. Kaedah kemaskini daripada Play Store juga akan lebih pantas untuk Chrome dan WebView. Akhir sekali Google akan cuba membaiki komunikasi dengan pengguna dan bekerjasama dengan pengeluar peranti untuk ketahui butiran mendalam mengenai isu yang berlaku.

Jadi kelak, anda tidak lagi perlu risau untuk isu yang sama berulang.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami